suria

Anak maut bertembung jet ski dipandu ibu

GEORGETOWN: Seorang kanak-kanak maut selepas jet ski dinaikinya bersama seorang pengawal pantai bertembung dengan sebuah jet ski yang dipandu ibunya di pantai Batu Feringghi, malam Isnin.

Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu, Jordan Phang Wen Jie, 9 disahkan meninggal dunia selepas pertembungan itu di pantai belakang sebuah hotel lima bintang di sini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, kemalangan maut melibatkan dua buah jet ski itu berlaku di pantai belakang Hotel Hard Rock.

Menurutnya, mangsa dan keluarganya dari Petaling Jaya, Selangor datang ke negeri ini untuk bercuti sejak kelmarin dan dijadualkan mendaftar keluar dari hotel pada 13 Jun.

"Maklumat awal mendapati, keluarga mangsa menyewa dua buah jet ski yang mana, satu dipandu ibu mangsa berseorangan manakala satu lagi, dinaiki mangsa yang dipandu oleh budak pantai. Kesemua mereka memakai jaket keselamatan ketika kejadian.

"Bagaimanapun, jet ski yang dibonceng mangsa hilang kawalan selepas ditiup angin kencang lalu meluncur laju melanggar dan bergesel dengan jet ski yang dipandu oleh ibu mangsa. Ia menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam laut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Tambahnya, mangsa yang tidak sedarkan diri dibawa keluarganya ke kolam renang hotel tersebut untuk tujuan menyelamat.

"Mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian muka diberi bantuan pernafasan oleh keluarganya namun dia masih tidak sedarkan diri. Mereka kemudiannya menghubungi ambulans dan sebaik pegawai perubatan tiba, mangsa disahkan sudah meninggal dunia.

"Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat. Hasil bedah siasat, mangsa meninggal dunia akibat kecederaan teruk pada otak dan beberapa bahagian badan akibat rempuhan benda tumpul," katanya. - Sinar Online

jet ski

Artikel Lain