suria

Langkah positif hulur bantuan bukan satu kaum sahaja - Nik Nazmi

KUALA LUMPUR: Peranan badan bukan kerajaan (NGO) dalam membantu meringankan beban rakyat amat dialu-alukan seiring dengan portfolio kerajaan yang mahu melihat peningkatan taraf hidup penduduk yang lebih baik.

Kelab Sahabat Persaudaraan (KSP) antara pihak yang aktif dalam membantu meringankan beban rakyat menerusi program NGO Negaraku.

Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengakui program bantuan dan sumbangan yang dianjurkan KSP ini bertepatan, lebih-lebih lagi di bulan Ramadan ini.

“Kita tahu di bulan Ramadan kita dianjurkan bukan sahaja hanya untuk berpuasa, tetapi pada masa sama, secara langsung mengingatkan kita kepada golongan yang setiap hari melaluinya iaitu fakir dan sebagainya, sekali gus menimbulkan rasa peduli terhadap masyarakat kurang berkemampuan.

“Menariknya melalui program ini, sumbangan bukan sahaja diberikan kepada satu kaum, sebaliknya pelbagai kaum walaupun kita berada di bulan Ramadan.

“Bagi saya ia satu perkara positif kerana penganjur mengajar kita melihat di luar kelompok satu kaum sahaja dalam menghulurkan bantuan kerana yang miskin tidak  mengira kaum.

“Jadi alhamdullilah, ia satu program yang positif apabila kita lihat respon yang baik daripada orang ramai.

“Dan saya dimaklumkan penganjur akan teruskan dalam beberapa bentuk yang lain dalam masa terdekat ini dalam usaha untuk membantu rakyat yang kurang bernasib baik,” ujarnya kepada mStar Online selepas menyerahkan sumbangan berupa beras kepada pemegang kad NGO Negaraku di Setapak pada Isnin.

Nik Nazmi (tiga kiri) menyampaikan ucapan sebelum menyerah sumbangan beras kepada orang ramai. Turut kelihatan Presiden Gerakwanis, Bibi Sunita dan Mohd Zamri (dua kanan)

Sementara itu Pengasas KSP, Dr Zamri Noordin yang juga selaku penganjur berkata, program yang menggunakan platform Mobile Apps ini semakin mendapat sambutan.

“Program ini dikembangkan dengan kerjasama NGO khususnya Gerakwanis dengan tujuan utama untuk membantu mengurangkan kos sara hidup masyarakat.

“Selepas Aidilfitri nanti pihak kami akan memperkenalkan Program Sentuhan Harapan bertemakan “Beli & Jimat” dengan usahasama pekilang-pekilang di Malaysia dan sewaktu proses pelaksanaan program tersebut kami akan bekerjasama dengan persatuan-persatuan penduduk untuk mengedar serta menawarkan barangan keperluan asas yang boleh dibeli oleh ahli mereka pada harga jimat”.

Untuk rekod, Program NGO Negaraku yang diperkenalkan sejak  Februari 2018 telah mengumpul 86 NGO dan lebih kurang 9,000 ribu pengguna Mobile Apps.

Nik Nazmi, NGO, KSP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain