suria

Terkejut...berat badan naik gara-gara rendang, ketupat

SAMBUTAN 1 Syawal yang diraikan sebagai tanda kemenangan umat Islam selepas menunaikan ibadah puasa sepanjang Ramadan sememangnya dinantikan.

Ketika itu, tradisi rumah terbuka memenuhi undangan dengan kunjungan ke rumah saudara-mara dan sahabat handai serta disajikan dengan beraneka jenis hidangan lazat.

Makanan wajib seperti lemang, ketupat, rendang dan kuah kacang sememangnya menjadi pelengkap di setiap rumah bagi meraikan kedatangan tetamu.

Jadi tidak hairan apabila ada dalam kalangan kita mengalami kenaikan berat badan secara mendadak selepas menyambut Aidilfitri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin turut berkongsi kisah sambutan Aidilfitri dua tahun lalu apabila berat badannya naik sehingga dua kilogram.

"Makanan yang paling saya suka tiap kali raya adalah rendang ayam dan daging bersama dengan ketupat.

"Memang time raya tu naik dua kilogram. Biasalah hari raya kita akan pergi ke rumah saudara mara dan rakan-rakan. Jadi saya akan dihidangkan dengan rendang dan ketupat.

"Mereka tahu saya suka makan rendang, jadi ada juga yang bungkuskan untuk saya bawa balik rumah," kata gadis campuran Melayu dan Cina itu kepada mStar Online.

Malah cucu kepada bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Shamsiah Fakeh itu turut terkejut dengan berat badannya yang naik itu.

"Itu memang rekod peribadilah. Saya terkejut juga apabila berat badan naik.

"Selepas itu saya terpaksa kurangkan makan. Susah juga mula-mula sebab saya suka makan sebenarnya," kata anak tunggal itu.

Ditanya mengenai sambutan raya kali ini, Jamaliah berkata beliau teruja untuk meraikan sambutan Aidilfitri bersama penduduk di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama.

"Memang berbeza sebab kali ini saya akan utamakan penduduk di kawasan saya. Saya akan cuba penuhkan jadual saya sebab banyak lagi pengundi di Bandar Utama yang saya belum jumpa.

"Walaupun raya mereka ada event, jadi saya akan cuba memenuhi semua undangan tersebut. Raya kali ini saya tak cuti lama sangat seperti tahun sebelumnya sebab saya perlu hadir banyak event bersama rakyat," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu, Jamaliah menang dengan undi majoriti 34,969. Beliau menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Ching Soo Chau dan Peter Chong Fook Meng (Bebas) yang masing-masing memperoleh 3,882 dan 188 undi.

Mengenai kenangan raya bersama neneknya, Jamaliah berkata wanita yang memberi kesan mendalam dalam dirinya itu amat mementingkan tradisi kunjung-mengunjung ke rumah saudara mara mereka. 

"Kami akan pergi jumpa saudara mara di Kuala Pilah sebab nenek berasal dari sana. Selepas itu kami juga akan ke Johor, negeri kelahiran datuk saya.

"Semasa datuk dan nenek masih lagi hidup, kami kerap pergi ke sana. Ia sudah menjadi tradisi keluarga setiap kali tiba Aidilfitri," katanya.

Jamaliah Jamaluddin, DAP

Artikel Lain