KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Tengku Hamzah akhirnya menawarkan diri sebagai calon Presiden Umno bagi pemilihan 2018 parti itu. Beliau berjanji untuk menawarkan perubahan kepada Umno selaras dengan realiti politik Pasca PRU14 lalu yang menyaksikan gabungan BN yang diterajui parti itu tewas buat kali pertama. "Saya akan terus jaga akar umbi parti yang berasaskan perjuangan lindungi kepentingan Melayu, di samping menghormati dan menjaga kepelbagaian kaum negara ini," kata beliau dalam sidang media di rumahnya pada Sabtu. Dalam pada itu, beliau menegaskan masih belum membuat pakatan dengan pihak lain kerana pemilihan ini adalah hak kepada ahli akar umbi Umno untuk membuat pilihan mereka. “Saya sendirian setakat ini. Kami membuat tawaran ini untuk posisi memimpin parti ini. Siapapun menang kami akan bekerja sebagai ahli Umno. “Saya mesti berunding dengan kawan-kawan saya.Seperti yang diasas Umno dulu, kita mesti dengar dari orang bawah sebelum putuskan sesuatu,” tambahnya. Tengku Razaleigh yang juga dikenali sebagai Ku Li ditemani oleh Pengerusi Umno Johor, Datuk Seri Khaled Nordin dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Johari Ghani. Sementara itu, Ku Li berkata, Umno sensitif terhadap realiti politik pasca PRU14 dan sudah pasti akan menyesuaikan diri demi memastikan parti terus relevan. “Bagi maksud ini Umno di bawah kepimpinan saya akan memuat perubahan penyesuaian jika dianggap perlu. “Sebagai pengamal politik aktif sejak menjadi ahli Umno pada 1962, tidak keterlaluan sekiranya saya katakan bahawa saya amat faham akan selok-belok politik kepartian dan politik di peringkat kebangsaan. Ini merupakan satu-satunya ujian sekiranya seseorang itu ingin menawarkan dirinya nagi tugas kepimpinan,” ujarnya. - Sinar Harian