suria

KKM alu-alukan SPRM siasat dakwaan monopili ubat

Gambar hiasan

PUTRAJAYA: "Kementerian Kesihatan mengalu-alukan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai dakwaan sebuah syarikat memiliki monopoli ke atas bekalan ubat-ubatan di negara ini," kata menterinya Dr Dzulkefly Ahmad.

“Kementerian tiada masalah (siasatan oleh SPRM)...tetapi mesti  ada bukti  dan bukannya tuduhan begitu sahaja,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Perdana Menteri dan Anggota Jemaah Menteri  2018 di Seri Perdana pada Jumaat.

Beliau berkata kementeriannya memberi perhatian terhadap tuduhan monopoli ubat-ubatan itu, sambil menambah “jika ada salah laku, maka SPRM akan mengambil tindakan”.

Katanya lagi, kementerian kesihatan mahu melakukan yang terbaik dengan tadbir urus yang bertanggungjawab.

“Kita kena tahu pasaran ada sentimen dan kena jaga semua pihak. Andai berlaku salah laku, pihak SPRM akan bertindak,” katanya.

Dr Dzulkefly berkata kementeriannya akan sentiasa memperbaiki perkhidmatan supaya dapat memberi bekalan ubat kepada rakyat pada harga yang nilai untuk wang.

Menurut laporan akhbar, sebelum ini Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, dari PKR, menulis di Twitternya, meminta Dr Dzulkefly memecahkan sebarang monopoli ubat-ubatan oleh syarikat yang dimiliki ahli politik dari pentadbiran sebelum ini.

Pada Rabu,  sebuah portal membuat pendedahan mendakwa syarikat yang dikaitkan dengan ahli politik yang rapat dengan kerajaan dulu mengawal bekalan ubat bernilai berbilion ringgit.

Menurut laporan yang memetik sumber itu, monopoli yang dimiliki syarikat itu mungkin menjadi punca peningkatan kos ubat-ubatan yang dibekalkan ke hospital dan klinik kerajaan seluruh negara.

Mengenai sambutan Hari Raya tahun ini, Dr Dzulkefly berkata seramai 80,000 kehadiran pengunjung membuktikan semangat perpaduan yang membara di kalangan rakyat.

Beliau yakin sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia akan diraikan dengan satu letupan patriotisme yang akan memberi lonjakan dalam membina semula negara, ekonomi dan memperkukuhkan perpaduan. -Bernama

KKM, monopili ubat

Artikel Lain