suria

Tanah Felda: Kertas siasatan tukar hak milik dihantar ke DPP

Tanah Felda di Jalan Semarak. Foto: Bernama

SHAH ALAM: Polis telah menyerahkan kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan pemindahan lot tanah projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC) milik Felda kepada pejabat pendakwa raya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata, polis telah menyiapkan siasatan dan menyerahkan kertas siasatan berkenaan kepada pejabat pendakwa raya untuk tindakan susulan.

”Ya, kita sudah serahkannya kepada DPP (pendakwa raya),” katanya ketika kepada Sinar Harian pada Ahad.

Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut berhubung tindakan susulan dan maklum balas daripada DPP.

Mac lalu, Felda secara rasmi memperoleh kembali 17 lot tanahnya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak yang didaftarkan atas nama Synergy Promenade Sdn Bhd (SPSB) secara berperingkat.

Susulan itu, satu Jawatankuasa Khas Rundingan dibentuk 8 Februari lalu bagi memulakan rundingan penambahbaikan syarat Perjanjian Pembangunan 24 lot tanah dengan SPSB.

Kontroversi membabitkan tanah Felda tercetus selepas laporan media mendedahkan, Felda berisiko kehilangan tanah miliknya bernilai RM270 juta di Jalan Semarak bagi tujuan pembangunan KLVC menerusi transaksi pindah milik yang diragui sejak 2015.

Media melaporkan, pindah milik tanah itu dipercayai berlaku apabila Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkan projek KLVC.

Sebelum ini, pada 4 Jun lalu, SPSB memfailkan saman fitnah berjumlah RM100 juta terhadap bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berhubung isu pemindahan hak milik tanah itu.

Saman itu difailkan atas kapasiti peribadi itu dikemukakan susulan beberapa kenyataan yang dibuat Shahrir antara Disember 2017 hingga Mac 2018 yang disiarkan di beberapa media massa, laman sosial Facebook dan YouTube serta portal berita.

Berdasarkan pernyataan tuntutan, plaintif mendakwa kenyataan-kenyataan itu menyebabkan imej mereka tercalar selain mengakibatkan plaintif kehilangan projek-projek yang sedang diusahakan.

“Tindakan defendan juga memberi gambaran defendan melakukan jenayah terhadap Felda,” dakwanya. - Sinar Harian

Tanah Felda, hak milik, DPP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain