KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sedia untuk berdebat dengan dua lagi calon presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagi menjawab semua persoalan yang berbangkit. Memetik laporan Astro Awani, Tengku Razaleigh atau mesra dengan panggilan Ku Li berkata, beliau bersedia untuk menjawab apa sahaja pertanyaan dari dua lagi calon jawatan presiden Umno atau wakil mereka dalam sesi debat tersebut. Beliau juga berharap Zahid dan Khairy juga sanggup untuk berdebat dan memberi penjelasan atas apa yang dibangkitkan. "Jawapannya saya bersedia. Boleh jawab apa pertanyaan yang nak dikemukakan kepada saya. "Kalau saya berani membuat penjelasan yang lain-lain pun patut ikut serta dan sanggup membuat penjelasan yang sama," katanya selepas ditemu bual dalam program khas '100 Hari Malaysia Baharu' di sini, malam Selasa. Ku Li berkata demikian sebagai menjawab desakan sebahagian ahli Umno yang mahu calon yang menawarkan diri bertanding jawatan presiden parti supaya berdebat bagi menjelaskan misi dan visi mereka. - Sinar Online