KUALA LUMPUR: Seorang guru mengaji dipenjara tiga bulan dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah mencabul anak murid perempuannya berusia lima tahun, tahun lepas. Majistret Zuhair Rosli menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Redzuan Zakarian, 33, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan. Mahkamah turut memerintahkan bapa kepada seorang anak berusia tiga tahun itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu. Mahkamah bagaimanapun membenarkan permohonan peguam Zulhazmi Sharif yang mewakili tertuduh untuk penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi dan menaikkan wang jaminan daripada RM4,000 kepada RM8,000 dengan seorang penjamin. Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di ruang tamu rumah tertuduh di Sungai Besi, di sini antara 8 malam dan 9 malam pada 9 Februari 2017. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan-seksaan itu. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam.-- Bernama