suria

Kertas siasatan kes Altantuya dibuka semula - Fuzi

KUALA LUMPUR: Polis akan membuka semula kertas siasatan kes pembunuhan Altantuya Shaaribuu.

"Ya saya sahkan, polis akan menjalankan siasatan berdasarkan laporan yang diterima di Dang Wangi," kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun kepada The Star.

Tambah beliau lagi, kertas siasatan yang lengkap itu kemudiannya akan diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.

Altantuya dipercayai ditembak mati dan mayatnya diletupkan dengan bahan letupan di hutan sekunder Mukim Bukit Raja, Klang antara 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Sementara itu, polis ibu negara mengesahkan telah mengambil keterangan bapa kepada model Mongolia, Altantuya Shaariibuu, Dr Shaariibuu Setev.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Yaacob, berkata, pihaknya terima satu laporan polis dibuat pengadu bernama Dr Shaariibuu Setev di Balai Polis Dang Wangi, pada jam 12.03 tengah hari, semalam.

“Kita juga sudah mengambil keterangan Dr Shaariibuu pada jam 9 pagi Khamis.

“Seterusnya, pihak polis akan merujuk semula siasatan ke Pejabat Timbalan Pendakwaraya,” katanya dalam satu kenyataan.

Pada Rabu, Dr Shaariibuu membuat laporan polis bagi membolehkan kes pembunuhan anaknya itu pada tahun 2006 dibuka semula.

Peguamnya, Ramkarpal Singh, berkata pihaknya berharap laporan itu akan membuka kembali kes berkenaan untuk disiasat secara menyeluruh termasuk mendakwa individu bertanggungjawab terhadap pembunuhan Altantuya.



Shaariibuu, Altantuya

Artikel Lain