suria

RM98,653 dirampas kes judi Piala Dunia 2018

Gambar hiasan.

PENAMPANG: Polis Sabah menahan sembilan individu disyaki  terlibat dengan sindiket perjudian bola sepak Piala Dunia Fifa 2018 dan merampas wang tunai berjumlah RM98,653 dalam lima serbuan mulai Isnin lepas sehingga Rabu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata lapan lelaki termasuk seorang warga Indonesia dan seorang wanita sedang hamil itu  ditahan dalam  Op Saga yang dijalankan di sekitar Penampang dan Putatan.

“Polis percaya mereka yang ditahan adalah pekerja dan polis akan menjalankan siasatan untuk mencari dalang sindiket berkenaan dan rangkaian yang terlibat.

“Dalam serbuan itu, polis merampas beberapa barangan yang digunakan dalam pertaruhan antaranya komputer riba, beberapa buku kecil, telefon bimbit, kertas senarai ramalan keputusan perlawanan, kad sim dan sebuah mesin kira wang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Penampang, di sini pada Khamis.

Katanya hasil tangkapan itu polis yakin berjaya menumpaskan aktiviti pertaruhan perlawanan bola sepak Piala Dunia Fifa 2018 yang dijalankan sekitar Putatan dan Penampang serta pemantauan akan terus dijalankan bagi membanteras perjudian haram.

Omar berkata kesemua suspek berumur  antara 22 hingga 37 tahun itu akan disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953. - Bernama

Piala Dunia 2018

Artikel Sebelum

Artikel Lain