PETALING JAYA: Realitinya Malaysia tidak bersaing pada temasya Piala Dunia 2018, namun siapa sangka bukan saja Jalur Gemilang megah berkibar di Rusia, malahan baju Melayu turut mencuri tumpuan ketika berlangsungnya saingan empat tahun sekali itu. Segalanya kerana semangat patriotik dan kecintaan Putra Tahsrinudin Tajudin, 32, terhadap tanah air, yang sekali gus memberi ilham untuk dia memakai baju Melayu sewaktu menyaksikan perlawanan bola sepak di sana. "Idea ini timbul sebab saya mahu ketengahkan pakaian kebangsaan kita di mata dunia. Ternyata ramai orang asing datang menyapa dan bertanya mengenai baju Melayu yang saya gayakan. "Untuk kelainan, saya gayakan baju Melayu lengkap dengan sampin serta memakai topi Soviet Union yang saya beli di sini," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online, Khamis. Selain baju Melayu, Putra turut membawa Jalur Gemilang dan bendera negeri kelahirannya, Perak. Putra dengan penuh rasa bangga bukan sahaja mengibarkan dua bendera itu sewaktu perlawanan berlangsung, malah di luar stadium. Dia yang berangkat ke sana pada hari raya ketiga Ahad lalu tidak bersendirian apabila turut disertai bapa saudara, adik ipar dan seorang sahabat. Sementara itu, kelainan yang ditampilkan pemuda ini turut menarik perhatian petugas media di sana. "Sewaktu perlawanan antara Portugal dan Maghribi, salah satu saluran televisyen Rusia turut menemubual saya bertanyakan mengenai baju Melayu dan pengalaman saya di sini. "Saya sangat teruja sewaktu ditemubual. Walaupun gugup, saya nyatakan ini merupakan pakaian kebangsaan negara Malaysia," ujar Putra lagi. Setakat ini, selain menonton saingan antara Portugal dan Maghribi, dia sudah menyaksikan perlawanan Brazil menentang Costa Rica dan Belgium menentang Tunisia. Dia yang mengusahakan syarikat percetakan di Taiping, Perak, akan kembali ke Malaysia pada 24 Jun ini. Biarpun berada di sana selama seminggu, kosnya mencecah sekitar RM7,000 setiap seorang. Sebelum mengakhiri bicara, dia yang meminati pasukan Brazil menjangkakan Sepanyol bakal menjuarai kejohanan Piala Dunia 2018. Pada Rabu, mStar Online menyiarkan mengenai tiga anak muda tempatan megah mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR) sempena berlangsungnya kejohanan bola sepak terbesar di dunia itu.