suria

KP SPRM dedah pernah ditawar jadi menteri

Mohd Shukri Abdull. Foto Bernama

PUTRAJAYA: Tidak kabur dengan tawaran untuk menjawat jawatan menteri Kabinet, orang nombor satu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ini juga mengakui tidak menyokong mana-mana parti politik.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Mohd Shukri Abdull mengakui, dikunjungi wakil tertinggi daripada parti PAS, PKR dan Bersatu menjelang PRU14 untuk ditawar menjadi calon, namun, ditolak secara berhemah.

“Sebelum pilihan raya baru-baru ini, saya didatangi wakil tertinggi daripada PAS, PKR dan Bersatu untuk tawar saya jadi calon.

“Saya tolak elok-elok, saya kata saya tak sokong mana-mana parti. Lagipun bukan seorang ahli politik yang hebat dan bijak malah saya tak tahu pun cara berpolitik. Saya cuma nak jadi pejuang bawahan,” katanya kepada Sinar Harian dalam satu temubual eksklusif di pejabatnya, Rabu.

Mohd Shukri turut mendedahkan, wakil-wakil tertinggi parti itu juga menawarkan beliau jawatan menteri sekiranya menang di peringkat Persekutuan.

“Saya kata bukan saja menteri, jawatan perdana menteri pun saya tak terima.

“Saya nak jadi neutral, tidak mahu bias, biar saya berjuang dengan cara sendiri,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shukri turut berkongsi kisah dua sahabat karib yang juga rakan seperjuangannya dalam perjuangan membanteras rasuah iaitu, Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Nasional (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Menurut Mohd Shukri, beliau dan Abu Kassim serta Mustafar berkawan baik sejak awal menyertai SPRM lagi dan tidak pernah berpecah.

“Kami tiga orang tak pernah berpecah dari dulu sampai sekarang.

"Kami satu batch, ke mana pun bersama, pendek kata kami bertiga bersatu hati.

“Kami sentiasa nasihat menasihati dan berhubung antara satu sama lain untuk beri pandangan. Hati kami sama, kami sama-sama masuk (SPRM), sakit sama-sama, keluar sama-sama, malah kalau lepak pun bertiga juga,” katanya. - Sinar Harian

Mohd Shukri Abdull, SPRM

Artikel Lain