suria

“Tahniah Ku Li… Pakatan Harapan patut buat juga”

Dari kiri: Ahmad Zahid, Ku Li dan Khairy.

PETALING JAYA: Ketua Pemuda Pakatan Harapan (PH), Nik Nazmi Nik Ahmad memuji tindakan Tengku Razaleigh Hamzah yang mencabar calon presiden Umno untuk berdebat dan mengisytiharkan harta masing-masing.

Beliau bagaimanapun berkata, parti lain termasuk PH seharusnya melakukan perkara sama seperti mana yang dicadangkan Ahli Parlimen Gua Musang itu.

"Tahniah Ku Li buat cabaran semua calon Presiden Umno isytihar harta dan berdebat. 

"Parti lain termasuk dalam Pakatan Harapan patut buat perkara sama," katanya menerusi status yang dimuat naik di akaun Twitternya pada pagi Khamis.

Cadangan Nik Nazmi yang merupakan Ahli Parlimen Setiawangsa itu turut disokong sebahagian pengikutnya yang berharap pengisytiharan harta turut dilakukan pemimpin PH.

"Setuju, pemimpin PH isytihar harta adalah perkara yang harus dilakukan," kata pengikut Twitter, @fezmy.

"Pemilihan PKR (Parti Keadilan Rakyat) pun kena buat debat juga YB (Yang Berhomat)," kata @Alif_Ridzo di mana Nik Nazmi merupakan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK).

Pada Selasa, Tengku Razaleigh Hamzah yang juga calon presiden Umno bersedia berdebat dengan dua lagi calon, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Khairy Jamaluddin.

Tengku Razaleigh atau mesra dengan panggilan Ku Li turut berkata, beliau akan mengisytiharkan harta dan menggesa kedua-dua calon tersebut melakukan perkara yang sama.

Pada Rabu, Khairy pada sidang media menyatakan kesediaannya membuat pengisytiharan harta bagi memastikan calon Presiden bersih sebelum pemilihan Umno yang dijadualkan pada 30 Jun ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid pada Rabu dilaporkan enggan mengulas mengenai cabaran debat itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain