suria

Debat KJ-Ku Li sehari sebelum pemilihan Umno

Siaran debat calon Presiden Umno antara Khairy dan Ku Li. Foto Instagram 501awani

PETALING JAYA: Debat antara Tengku Razaleigh Hamzah dan Khairy Jamaluddin, masing-masing calon presiden Umno telah ditetapkan sehari sebelum berlangsungnya pemilihan parti itu.

Debat yang dijadualkan berlangsung 29 Jun ini diumumkan saluran berita Astro Awani di Instagramnya pada Rabu malam.

Ia berkata, program itu sempena pemilihan Umno pada 30 Jun.

"Siapa pemimpin yang parti tunjang Melayu ini akan ketengahkan untuk menyaingi Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang Pilhan Raya Umum ke-15 (PRU15)," menurut pengumuman itu.

Debat itu dijadualkan berlangsung di saluran Astro Awani pada pukul 9.30 malam, termasuk 'Live TV' dan 'FB Live' saluran itu.

Selain itu, orang ramai juga dialu-alukan untuk mengemukakan soalan-soalan berkaitan menggunakan tanda pagar #DebatAwani yang akan disiarkan di platform media sosial.

Khairy yang merupakan Ahli Parlimen Rembau dalam sidang medianya pada Rabu berkata, beliau bersedia menyahut cabaran Tengku Razaleigh Hamzah untuk berdebat pada bila-bila masa.

Pada Selasa, Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih mesra dipanggil Ku Li itu yang juga calon Presiden Umno mencabar dua calon lagi, Khairy dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berdebat.

Setakat ini Ahmad Zahid yang merupakan Naib Presiden Umno menjalankan tugas Presiden belum menyatakan pendiriannya mengenai cabaran debat itu.

Bagaimanapun, Zahid ketika ditemui pemberita pada Rabu enggan mengulas mengenai cabaran yang dikemukakan Ku Li.

Terdahulu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya tidak mempunyai sebarang masalah untuk menyiarkan debat melibatkan calon-calon Presiden Umno secara langsung di RTM.

Artikel Lain