suria

MRR2, Ampang dilanda banjir kilat

Gambar dari Bernama.

KUALA LUMPUR: Beberapa kawasan rendah di pinggir ibu kota terutama di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) dan Ampang dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat lebih dua jam petang Sabtu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor ketika dihubungi berkata hujan lebat sejak pukul 3 petang menyebabkan kawasan terbabit dinaiki air kira-kira setengah meter.

"Hujan lebat di MRR2 menghala Ampang selepas Zoo Negara menyebabkan kesesakan lalu lintas lebih lima kilometer namun keadaan adalah terkawal dan air mulai surut pada pukul 7.30 petang," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata di kawasan Lembah Jaya Utara, Ampang di sini, paras air sungai di kawasan berhampiran turut dilaporkan meningkat setinggi satu meter dan masih dalam keadaan terkawal.

Menurutnya, pihak bomba telah diletakkan dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Sementara itu, pengguna MRR2, Rosni Malik, 33, berkata kejadian seperti itu kerap kali berlaku yang menyebabkan ramai pengguna jalanraya terperangkap dalam kesesakan yang panjang.

“Walaupun sesak, sepatutnya 45 minit sudah sampai rumah, tetapi setiap kali hujan mesti lebih lama masa diperlukan kerana banjir kilat serta berlumpur di jalan MRR2.

“Diharap pihak Jabatan Kerja Raya dapat melihat perkara ini, bagi memastikan perkara sebegini tidak terus berulang,” katanya.

banjir kilat, mrr2

Artikel Lain