PEKAN: Anak bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Datuk Mohd Nizar (gambar) dipilih menjadi Ketua Pemuda UMNO Pekan setelah menang tanpa bertanding pada Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO Bahagian itu di sini, Sabtu. Beliau menggantikan Datuk Shahruddin Ahmad yang melebihi had umur kelayakan. Lapor Bernama, mengulas pemilihannya, Mohd Nizar, 40 berazam untuk membangkitkan kembali parti. "Saya lihat sokongan dan semangat juang pemimpin UMNO masih kuat dan tidak terhenti... Persidangan Perwakilan Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Pekan pada hari ini juga menyaksikan dewan ini penuh dihadiri anggota parti. "Mereka begitu komited dan membuktikan parti Umno masih relevan apa yang perlu dilakukan kini ialah membuang sikap angkuh, politik wang serta segala yang negatif selain cuba memenangi kembali hati anak muda,” katanya ketika berucap pada persidangan itu. Lebih 500 perwakilan Pemuda hadir bagi mengundi barisan kepimpinan baharu sayap berkenaan. Mohd Nizar berkata dalam keadaan politik yang mencabar pada masa kini, amat penting bagi UMNO menjadi pembangkang yang kuat dan mampu membawa masalah rakyat dengan berkesan. " justeru saya amat merayu kepada anggota dan pucuk pimpinan UMNO agar rapatkan saf kerana kita berjuang demi parti yang memperjuangkan agama Islam,” katanya. Sementara itu, Shahruddin berkata sokongan anggota UMNO khususnya di Pekan terhadap Najib selaku wakil rakyat Parlimen Pekan masih utuh dan tidak berbelah bagi. "Kekalahan pada PRU14 bukan atas faktor beliau. Kita percaya beliau adalah pemimpin yang bersih dan disayangi rakyat sehingga ke hari ini," katanya.