suria

Zahid Hamidi enggan layan cabaran Khairuddin

PETALING JAYA: Calon Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan menyahut cabaran bekas Naib  Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan supaya beliau melafazkan sumpah laknat di masjid.

Ahmad Zahid berkata, tiada keperluan untuk beliau melakukan tindakan yang boleh merendahkan tahap dan imej dirinya.

"Saya tidak perlu untuk merendahkan imej dan tahap saya serendah beliau.

"Apabila saya membuat sumpah itu... Wabilillahi... Watallahi... ia adalah muktamad sebagai orang Islam dari segi sumpah laknat," katanya pada sidang media, petang Sabtu.

Khairuddin pada Jumaat mencabar bekas timbalan perdana menteri itu supaya melafazkan sumpah laknat di masjid berhubung penafiannya yang meminta bekas pemimpin Umno itu supaya mengaturkan pertemuan dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Apa lagi yang Zahid Hamidi nak menafikan? Pada realitinya juga, Zahid Hamidi adalah 'sampah' yang tidak harus dilayan sama sekali kerana beliau terkenal dengan sikap putar belit yang amat kronik.

"Tolong bagi tahu penyangak Zahid Hamidi bahawa saya bersedia untuk menjunjung kitab suci Al-Quran bersumpah laknat di mana-mana masjid sekalipun!!," kata Khairuddin menerusi kenyataan di Facebooknya petang Jumaat.

Terdahulu, Ahmad Zahid mendakwa Khairuddin sebagai penipu.

Bekas menteri dalam negeri itu berkata demikian bagi mengulas dakwaan Khairuddin bahawa beliau merayu kepadanya untuk berjumpa dengan Dr Mahathir.

"Wabilillahi... watallahi. Saya tidak pernah merangkak dan bukan saya yang meminta untuk berjumpa Dr Mahathir.

"Saya berkata benar kepada ahli Umno.

"Datuk Khairuddin yang menuduh saya penipu itulah yang sebenarnya menghubungi dan mengaturkan perjumpaan dengan Dr Mahathir," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain