suria

Dah buat beratus video... nak kutuk, kecam Makcik Tik Tok tak layan!

PETALING JAYA: Setelah berakhirnya demam Dubsmash dan Musically, kini muncul pula aplikasi video Tik Tok yang menjadi kegilaan anak muda negara ini.

Namun, keghairahan seorang wanita berusia 44 tahun yang turut menyertai komuniti aplikasi video itu ternyata menjadi bualan ramai.

Mula tular sejak minggu pertama Aidilfitri baru-baru ini, Nor Akma Zainal atau lebih mesra disapa Mama ternyata tidak kisah digelar Makcik Tik Tok.

Menurut wanita yang mempunyai tiga anak dan seorang cucu itu, dia tidak gusar dengan kecaman orang ramai kerana dia tahu apa yang dilakukannya.

"Saya sudah hampir setahun hasilkan video-video begini. Saya hairan kenapa sekarang baru netizen tularkan? Yang penting saya tidak hipokrit, bagaimana saya dalam video Tik Tok, begitulah saya di dunia nyata.

"Saya menggunakan aplikasi video Tik Tok sebab saya adalah penggemar muzik. Selain menyanyi di bilik karaoke, saya juga sering menyertai pertandingan nyanyian," ujarnya sewaktu dihubungi mStar Online, Isnin.

Menurut Akma, dia ternyata gembira apabila video yang dimuat naik ke aplikasi itu mendapat perhatian ramai sehingga mencecah hampir setengah juta tontonan.

Biarpun dikutuk tua dan tidak sedar diri, dia yang menjalankan perniagaan produk kecantikan itu mengakui mendapat sokongan penuh ahli keluarganya.

"Suami saya bagi lampu hijau, anak-anak pun tak kisah. Malah mereka pun suka buat video Tik Tok juga.

"Kami anak beranak sama sahaja. Masing-masing buat video untuk suka-suka, selepas itu kami bandingkan jumlah tontonan siapa yang paling tinggi.

"Selain sokongan keluarga, rakan-rakan dan orang kampung juga tahu dengan sikap dan personaliti saya yang ceria dan gila-gila," ujarnya lagi.


Dia yang tinggal di Kemaman, Terengganu, mengakui sudah menghasilkan ratusan video Tik Tok dan ia ternyata membantu perniagaan yang diusahakannya.

Malah, wanita itu turut memberi pesanan kepada netizen yang mengecamnya supaya menghentikan sahaja perbuatan mereka.

"Alhamdulillah, terima kasih kepada netizen yang kecam, kutuk dan maki saya. Kenal dulu saya macam-mana baru tahu. Orang kata tak kenal maka tak cinta.

"Jadi usahlah kecam mengecam, ada netizen yang sebelum ini kecam saya sudah mohon maaf. Mereka cakap tak nak merangkak cari saya di akhirat kelak," kata Akma.

Menurut wanita itu, dia tidak serik untuk menghasilkan video Tik Tok kerana dia masih lagi tahu batas-batas yang perlu dijaga dan tidak pernah membuka aurat dalam video yang dihasilkannya.

Makcik Tik Tok, viral

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain