PETALING JAYA: MCA memberi amaran kepada penguatkuasa agama Terengganu agar tidak mengambil kesempatan ke atas pelancong yang memakai bikini kerana ingin memantau mereka di pantai dan pulau milik negeri itu. MCA Terengganu mencadangkan agar papan tanda pakaian yang bersesuaian di kawasan pantai negeri berkenaan didirikan agar pengunjung bukan beragama Islam dapat mengelakkan diri daripada disoal oleh pegawai penguatkuasa. "Bagi mengelakkan salah faham dan perbalahan, lebih selamat letakkan papan tanda di kawasna pantai, menunjukkan pakaian pantai yang dibolehkan untuk golongan Muslim dan bukan Muslim," kata pengerusi jawatankuansa MCA Terengganu, Datuk Toh Chin Yaw dalam kenyataan yang dikeluarkan Ahad. Kata Toh, ia adalah maklum balas kepada laporan yang menyatakan pengerusi jawatankuasa pembangunan insan, dakwah dan penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah yang berkata bahawa kerajaan negeri tidak akan mengenakan tindakan ke atas pengunjung bukan Islam yang memakai bikini. Bagaimanapun, Mohamad Nor menambah, pihak berkuasa mungkin akan mendekati pelancong untuk 'berbincang' dari masa ke semasa. Kata Toh, 'mendekati pelancong' juga bermaksud bahawa pihak berkuasa akan memantau mereka yang bercuti sebelum 'mendekati' dan 'berbincang'. "MCA Terengganu tidak mahu situasi ini dieksploitasi oleh pegawai penguatkuasa," kata beliau. Tambahnya, MCA Terengganu menyuarakan kebimbangan terhadap mereka yang kelihatan seperti seorang Melayu Muslim akan disaman secara tidak sengaja oleh pihak berkuasa. Beliau menambah bahawa papan tanda juga harus menyatakan tentang perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan di pantai. Ia termasuklah menyatakan tentang tingkah laku yang tidak dapat diterima termasuk berbogel, membuang sampah, membawa bekas kaca, mengganggu penyu, dan memasang lampu bersinar pada waktu malam yang boleh menakutkan penyu yang baru lahir.