suria

Warga Bangladesh pakar buat pasport palsu ditahan

PUTRAJAYA: Seorang lelaki warga Bangladesh yang dianggap 'pakar membuat pasport  palsu' ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam satu serbuan di Desa Tun Razak, Selangor pada Rabu.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata lelaki berumur 41 itu merupakan dalang dan  pakar membuat pasport palsu terutamanya pasport Bangladesh, Pakistan dan Indonesia  Beliau berkata lelaki itu juga pakar dalam mengubahsuai pasport yang telah tamat tempoh atau milik orang lain mengikut kehendak pelanggan.

“Lelaki itu  juga pakar dalam membuat pelekat pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu dan Kad Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) palsu,”katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Mustafar berkata pasport palsu dijual dengan harga RM 300 hingga RM 500 senaskah manakala pelekat PLKS palsu pula RM150 hingga RM 200 sekeping dan kad CIDB palsu pula RM 30 hingga RM 50.

“Hasil siasatan awal mendapati, sindiket  itu telah lama menjalankan aktiviti pemalsuan dokumen iaitu kira-kira dua hingga tiga tahun dan dianggarkan telah menjana keuntungan sebanyak RM50,000 hingga  RM80,000. Sindiket ini aktif menjual dokumen palsu di sekitar Lembah Klang serta menguasai pasaran Lembah Klang,” katanya.

Mustafar berkata dalam serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analis, pasukan itu menemui sebuah mesin pencetak, mesin pengimbas, cop keluar Malaysia palsu, cop masuk Malaysia palsu, cop rasmi JIM  (Bahagian Penguatkuasa Putrajaya) palsu dan lima cop palsu  Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh di  Kuala Lumpur  dan sejumlah peralatan untuk membuat dokumen palsu.

“Hasil soal siasat, subjek telah membawa ke sebuah lagi rumah yang dijadikan sebagai markas untuk membuat dokumen palsu. Lokasi rumah kedua juga berada di kawasan yang sama, tetapi berlainan blok. Serbuan dibuat di rumah  kedua dan didapati tiada penghuni ketika serbuan,” katanya.

Hasil penggeledahan di premis kedua itu menjumpai sebuah mesin lamina, pengesan wang dan sejumlah bahan serta peralatan untuk membuat pasport palsu, katanya.

“Sindiket ini sangat licik dalam menjalankan aktiviti mereka. Kedua-dua buah rumah tersebut disewa khas untuk dijadikan sebagai markas dan mereka tidak tinggal di  rumah tersebut.

“Anggota sindiket hanya akan ke rumah tersebut apabila ada pelanggan untuk membuat dokumen palsu dan akan meninggalkan rumah tersebut setelah aktiviti mereka selesai. Rumah pertama dijadikan sebagai tempat untuk mencetak dokumen seperti PLKS palsu dan helaian pasport palsu,manakala rumah kedua pula sebagai tempat untuk membuat buku pasport palsu,” katanya.

Mustafar berkata lelaki warga Bangladesh itu ditahan dibawah Seksyen 56(1A)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan beberapa tangkapan susulan akan dilakukan bagi memutuskan terus rantaian sindiket ini.

“JIM amat memandang serius perkara ini kerana boleh menggugat kedaulatan dan keselamatan negara. Tindakan tegas akan dikenakan terhadap pelaku atau sindiket yang melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 atau Akta Pasport 1966,” katanya. - Bernama

Bangladesh

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain