PETALING JAYA: Bekas anggota polis iaitu koperal Sirul Azhar Umar yang disabitkan dan dijatuhi hukuman mati atas pertuduhan membunuh model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu mengutuskan sepucuk surat kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Khamis. Bagaimanapun, isi kandungan surat tersebut masih menjadi tanda tanya kerana ia masih belum sampai ke tangan Dr Mahathir. Surat itu dikirimkan melalui bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang berkesempatan bertemu sendiri dengan Sirul Azhar di Kem Tahanan Villawood di Sydney pada Khamis. "Dalam pertemuan ini, Sirul Azhar Umar telah mengutuskan sepucuk surat kepada YAB (Yang Amat Berhormat) Perdana Menteri Malaysia yang mana saya sendiri tidak tahu apa isi kandungannya!! "Surat peribadi tersebut telah diletakkan di dalam sampul yang tertutup dan akan saya sampaikan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia apabila pulang ke tanah air dalam beberapa hari lagi," kata Khairuddin menerusi satu kenyataan. Khairuddin (tengah) berkunjung ke Kem Tahanan Villawood untuk melawat Sirul Azhar. Tambah Khairuddin, Sirul Azhar memaklumkan dia bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak penguatkuasa undang-undang negara ini kerana yakin dengan ketelusan dan profesionalism yang diamalkan kerajaan Pakatan Harapan (PH). "Sirul Azhar Umar kelihatan sihat serta tenang di Kem Tahanan Villawood yang mana dia telah ditahan hampir selama lima tahun sehingga kini. "Insya-Allah, saya amat yakin kebenaran mengenai kes pembunuhan Altantuya Shaaribu akan menyebelahi pihak yang teraniaya akhirnya," kata Khairuddin. Sirul yang melarikan diri dari Malaysia selepas dijatuhi hukuman mati pada 2009 kerana membunuh Altantuya, kini dalam tahanan Australia. Dia sebelum ini mendakwa diarahkan 'orang penting' untuk membunuh Altantuya pada 2006. Kerajaan Australia enggan mengekstradisi dirinya ke Malaysia kerana ia bertentangan dasar negara itu yang membantah hukuman mati ke atas pesalah jenayah berat. Seorang lagi bekas pegawai polis iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri yang terlibat dalam kejadian sama pula sedang menanti hukuman mati di Penjara Kajang sementara menunggu keputusan Lembaga Pengampunan meringankan hukuman itu kepada hukuman penjara.