PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia akan menjual barang kemas dan barangan mewah termasuk rantai berlian, tiara dan beg tangan berjenama yang disita dalam siasatan wang haram yang didakwa milik bekas pemimpin Datuk Seri Najib Tun Razak. Kenyataan itu dijelaskan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng kepada The Associated Press (AP). Sebelum ini polis mendedahkan sebanyak 12,000 barang kemas, 567 beg tangan, 423 jam tangan dan 234 cermin mata hitam telah dirampas bulan lalu dari beberapa premis yang dikaitkan dengan Najib. Polis menganggarkan ia jumlah terbesar dalam sejarah negara, bernilai lebih dari AS$273 juta. Guan Eng memberitahu dalam temu bual pada Jumaat bahawa kerajaan akan 'cuba untuk menjual apa sahaja yang boleh'. "Kami akan berusaha untuk menjual apa sahaja yang kami boleh, tetapi perlu diingat bahawa ia tidak ada apa-apa berbanding jumlah yang telah dirompak dari negara," katanya, sambil menambah beliau terkejut dengan penyitaan barang-barang itu. Rakyat Malaysia memberi pelbagai reaksi di media sosial selepas pendedahan tersebut. Sementara itu, Najib mendakwa kebanyakan barang itu adalah hadiah daripada para pembesar asing selama beberapa dekad dan menyatakan penilaian polis keterlaluan dan kelihatan sebagai 'balas dendam politik' terhadap keluarganya. "Bayangkan jika jumlah itu ditemui atau didedahkan di Amerika Syarikat, ia akan membimbangkan walaupun untuk sebuah negara yang kaya raya seperti Amerika Syarikat," kata Guan Eng. "Untuk negara kecil seperti Malaysia, 'ia benar-benar di luar dunia ini'," katanya.