suria

Tikam kekasih 76 kali, hukuman mati kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang bekas pengawal keselamatan kerana membunuh kekasihnya dengan menikam wanita itu  76 kali, hampir tajuh tahun lepas.

Panel lima anggota hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Tan Sri Hasan Lah mengekalkan  keputusan bahawa sabitan terhadap Muhammad Faizul Mohd Ali atas  kesalahan itu adalah kukuh.

Beliau menolak rayuan akhir Muhammad Faizul terhadap sabitan dan hukuman mati itu dengan menyatakan rayuan itu tidak mempunyai sebarang merit.

Sementara itu, Muhammad Zal Haziq Razali, iaitu rakan Muhammad Faizul, terselamat daripada tali gantung setelah mahkamah melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan membunuh kerani bank berusia 36 tahun, Rozana Mohd Yusak.

Muhammad Faizul dan Muhammad Zal Haziq, yang mengganggur, menghadapi pertuduhan bersama membunuh di apartmen rumah kedai si mati di Jalan Puncak Desa 2, Kepong, daerah Gombak, Selangor, antara tengah malam dan 1.15 pagi pada 21 Dis 2011.

Hakim Hasan berkata mahkamah bersetujuh dengan penghujahan peguam Rao Jayananda yang mewakili  Muhammad Zal Haziq bahawa tiada bukti mencukupi untuk mengaitkan anak guamnya dengan pembunuhan itu.

Hakim lain yang turut bersidang bersama Hakim Hasan ialah  Tan Sri Zainun Ali, Tan Sri Ramly Ali, Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Rohana Yusuf.

Kedua-dua lelaki itu disabitkan dengan pembunuhan itu oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2016 dan rayuan mereka pulak ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Jayananda berhujah Muhammad Zal Haziq mengikut Muhammad Faizul ke rumah si mati untuk merompak tetapi tiada bukti yang menunjukkan wujud niat bersama kedua-dua lelaki itu untuk melakukan pembunuhan.

Beliau  berkata  Muhammad Zal Haziq tidak masuk ke apartmen si mati, sebaliknya berdiri di luar pintu, manakala  Muhammad Faizul pula pergi ke dapur untuk mengambil sebilah pisau lalu menikam mangsa beberapa kali.

Peguam Ridha Abdah Subri, mewakili  Muhammad Faizul, berhujah kes itu sepatutnya dibicarakan semula oleh kerana anak guamnya tidak dibenarkan menilai semula keterangan yang diberikannya semasa  pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas.

Semasa pemeriksaan semula oleh peguamnya pada perbicaraan kes itu,  Muhammad Faizul berkata dia tidak ingat keterangan yang diberikannya sebelum itu ketika pemeriksaan utama dan pemeriksaan balas.

Dalam pembelaannya, Muhammad Faizul mengakui ada mengambil dadah dan meminum alkohol. Katanya si mati telah memarahinya dan tanpa disedari, dia menikam wanita itu menggunakan pisau yang diambilnya dari dapur.

Katanya, dia tidak sedar apa yang dilakukannya dan tidak ingat berapa kali dan di bahagian mana tubuh mangsa yang ditikamnya.

Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad berkata terdapat keterangan yang amat banyak menunjukkan wujud niat bersama antara kedua-dua lelaki berkenaan untuk melakukan pembunuhan.- Bernama

Hukuman mati, tikam 76 kali

Artikel Lain