suria

Kuasa tular: Dulu 'terhimpit', kini 5 beranak ini mampu senyum

PETALING JAYA: Kuasa tular jika digunakan sebaiknya pasti dapat memberi manfaat kepada insan yang memerlukan pertolongan.

Sebagaimana laporan mStar Online pada Selasa lalu mengenai kisah pilu lima beranak yang berada dalam keadaan terhimpit, ia ternyata menyentuh hati netizen dan bantuan yang disalurkan memberi sinar baharu buat keluarga itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu dan bayi sakit, bapa pula dibuang kerja... pilu nasib 5 beranak

"Alhamdulillah, sumbangan orang ramai sudah mencecah RM20,000. Saya sangat bersyukur dengan keprihatinan semua yang membantu.

"Saya sudah tidak tahu bagaimana untuk berterima kasih, hanya dapat saya kirimkan doa agar mereka yang membantu diberi kebahagiaan di dunia dan akhirat.

"Keadaan anak saya juga semakin baik. Pernafasannya semakin OK tapi belum dibenarkan keluar lagi. Kos pembedahan pula tidak dapat diputuskan buat masa ini dan doktor mahu fokus pada kestabilan dia dahulu," kata Nuryusma Ayob ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Menerusi laporan sebelum ini, wanita berusia 31 tahun itu buntu apabila anak ketiganya, Nur Aisy Arsylia yang berusia dua bulan bukan sahaja dilahirkan pra matang pada usia kandungan tujuh bulan, malah turut disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.

Selain Nur Aisy Arsylia, Yusma juga sering dimasukkan ke hospital kerana menghidap empat penyakit iaitu buah pinggang, diabetis, radang otak dan masalah tulang belakang.

Lebih memeritkan, suaminya, Muhammad Fashan Johari, 34, dibuang kerja sebelum sambutan Aidilfitri baru-baru ini dan mereka telah diminta keluar dari rumah akibat gagal melunaskan bayaran sewa.

"Kami sekeluarga berterima kasih kepada semua yang membantu. InsyaAllah minggu ini kami akan berpindah ke rumah baharu di Rawang.

"Dengan bantuan yang diterima, dapatlah kami gunakan untuk membayar deposit sewa rumah baharu," jelasnya lagi.

Selain menguruskan Nur Aisy Arsylia dan dua lagi anak perempuan yang berusia lapan dan empat tahun, mereka turut merancang untuk membuka perniagaan makanan bagi menampung hidup.

Sementara itu, Yusma memaklumkan akaun bank miliknya disekat kerana berlaku transaksi luar biasa sejurus laporan mengenai mereka sekeluarga disiarkan dua hari lalu.

Dia kini membuka akaun Maybank baharu atas nama Nuryusma Ayob - 514495716759.

Untuk maklumat lanjut, anda juga boleh menghubungi Yusma di talian 011-61182360 atau Fashan (019-3536033).

jantung berlubang, buang kerja

Artikel Sebelum

Artikel Lain