GEORGETOWN: Australia masih menunggu permohonan rasmi Malaysia untuk membawa pulang Sirul Azhar Umar yang dijatuhi hukuman kerana membunuh Altantuya Shaariibuu. Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski berkata, ketika ini, visa Sirul di negara berkenaan telah melebihi tempoh ditetapkan. Malahan, beliau juga mengulangi pendirian Australia untuk tidak membenarkan individu yang dikenakan hukuman mati untuk pulang ke negara asalnya. "Walaupun dia ada di pusat tahanan, dia bebas menerima pelawat dan berkomunikasi dengan dunia luar," katanya dalam temubual dengan The Star pada Jumaat. Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ada kemungkinan hukuman mati yang dikenakan terhadap Sirul akan diubah untuk membolehkan bekas polis berpangkat koperal itu pulang ke Malaysia. Bersama rakan setugasnya, Azilah Hadri, Sirul dijatuhi hukuman mati kerana membunuh Altantuya pada 2009 sebelum dihadapkan ke Mahkamah Rayuan pada 2013 dan seterusnya Mahkamah Persekutua. Bagaimanapun, Sirul melarikan diri ke Australia sebelum ditahan pihak Imigresen di Sydney selepas Interpol mengeluarkan Notis Merah dan sejak 2015 telah ditahan di Kem Tahanan Villawood. Mengenai hubungan dua hala antara Australia dan Malaysia di bawah kepimpinan Dr Mahathir, beliau mengakui menghormati pemimpin berusia 93 tahun ini. "Mahathir menyuarakan pandangannya dan kami menghormati beliau," katanya.