PETALING JAYA: Kabinet Pakatan Harapan sudah dibentuk dengan 13 menteri dan 23 timbalan menteri mengangkat sumpah pada Isnin tetapi beberapa portfolio masih belum diisi. Barisan Kabinet yang diumumkan pada Isnin masih lagi 'kehilangan' seorang menteri dan tiga timbalan menteri. Sumber berkata kekosongan itu diperuntukkan untuk mereka yang dilantik sebagai senator. Pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Dr Md Farid Md Rafik dilantik sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Perpaduan Negara dan Kesejahteraan Sosial) tetapi tiada menteri untuk portfolio itu. Menteri Pertahanan Mohamad Sabu dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masing-masing mengangkat sumpah pada 21 Mei lalu tetapi masih belum ada timbalan. Malah portfolio timbalan menteri Luar Negeri juga masih kosong di mana Datuk Saifuddin Abdullah (PKR) dilantik sebagai menteri.