suria

Syed Saddiq catat sejarah menteri termuda negara

Syed Saddiq merupakan menteri kabinet termuda dalam sejarah.

PETALING JAYA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kini menjadi menteri paling muda dalam sejarah negara.

Ahli Parlimen Muar yang bakal menginjak ke usia 26 tahun menjelang 6 Disember ini mengangkat sumpah sebagai Menteri Belia dan Sukan ke-18, pada Isnin.

Anak bongsu dari empat beradik itu dilantik sebagai menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menjadi menteri termuda dalam sejarah negara.

Sebelum ini, Khairy Jamaluddin merupakan menteri termuda di negara ini apabila dilantik ke kabinet pada usia 37 tahun pada 2013.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V mengurniakan surat cara kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq.- Foto BERNAMA

Anak kelahiran Johor itu merupakan graduan dalam bidang undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Dia turut menerima tawaran daripada Universiti Oxford dalam ijazah sarjana polisi awam, namun menolak tawaran itu.

Syed Saddiq terkenal kerana kepetahannya dalam komuniti debat sebelum dia terjun ke arena politik.

Malah, dia merupakan pemenang anugerah Pendebat Terbaik Asia di pertandingan Asian British Parliamentary (ABP) sebanyak tiga kali.

Menerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), Syed Saddiq memenangi kerusi Parlimen Muar, menewaskan calon Barisan Nasional, Datuk Seri Razali Ibrahim yang juga bekas timbalan Menteri Belia dan Sukan dari 2009 sehingga 2013.

Sementara itu, perlantikan Syed Saddiq sebagai menteri termuda di Malaysia turut mencuri tumpuan orang ramai.

"Ianya sesuatu yang baru dan segar. Sebagaimana diketahui, bekas menteri sukan Khairy sudah melakukan yang terbaik.

"Saya yakin Syed Saddiq juga akan melakukan tugas dengan baik," ujar jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Syed Saddiq baru berusia 26 tahun.

Khairy menerusi laman sosialnya turut menyampaikan ucapan tahniah buat Syed Saddiq.

"Tahniah Syed Saddiq atas pelantikan sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu. Saya doakan saudara dapat membawa kejayaan yang lebih besar kepada negara," tulisnya di laman Twitter.

Berikut merupakan biodata Syed Saddiq.

Nama Penuh: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Tarikh Lahir: 6 Disember 1992

Tempat Lahir: Pulai, Johor Bahru.

Pencapaian:

1) Pemegang Rekod Dunia dalam sejarah Kejohanan Debat Universiti Dunia.

2) Pendebat Terbaik Asia (3 kali berturut-turut)

3) Pendebat Terbaik Australia, Cambridge & Oxford Inter Varsities Debate Championship (ESL)

4) Individu Asia pertama dilantik sebagai Ketua Hakim (Cambridge Inter Varsities di UK)

5) Ketua Hakim (Kejohanan Debat Universiti Dunia di Netherlands)

Artikel Lain