KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) mengekalkan Biro Tatanegara (BTN) disifatkan bertentangan dengan Janji 28 manifesto Harapan. Peguam, Syahredzan Johan menggesa kepimpinan Harapan menyemak semula keputusan kerajaan itu, kerana gabungan berkenaan telah berjanji akan membubarkannya jika menang pilihan raya ke-14. Katanya, dalam Janji 28 tertulis, kerajaan Harapan akan membubarkan BTN yang selama ini giat menjadi agen politik murahan Umno. “Keputusan kerajaan untuk mengekalkan BTN adalah bertentangan dengan Janji 28 dalam manifesto Harapan. Semak semula keputusan ini,” gesanya menerusi Twitter. Perkara ini merujuk surat bertarikh 26 Jun yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa, BTN termasuk 26 jabatan yang kekal di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam rasioanalisasi strukturnya. Ia diluluskan selepas perbincangan antara Ali dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun tidak pasti sama ada peranan dan fungsi jabatan itu akan ditukar atau tidak. Jabatan lain yang dikekalkan adalah Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim). Rasionalisasi struktur itu memindah, membubar dan menggabungkan 55 jabatan dan agensi yang sebelum ini di bawah JPM, berkuatkuasa 1 Julai. Sembilan jabatan dan agensi lagi, antaranya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), dijadikan entiti bebas dan diletakkan bawah Parlimen. Sebelum ini, banyak pihak termasuk NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menggesa kerajaan baru membubarkan BTN kerana menganggap jabatan itu menjadi halangan kepada perpaduan negara, bahkan Harapan sebelum ini sering mengkritik BTN dengan dakwaan menjadi propaganda BN. -SinarHarian