suria

Demi Najib, sanggup 'lepas' gelang emas kesayangan

PETALING JAYA: Tabung Solidariti Bebaskan Najib yang diwujudkan oleh Pemuda Umno Wilayah Persekutuan sudah pun mengumpul kutipan berjumlah RM86,282 setakat petang Jumaat.

Atas inisiatif itu, Ketua Wanita Umno Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang turut mendapat inspirasi bagi membantu bekas perdana menteri itu.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook, Zaleha, 60, menyerahkan seutas gelang emas miliknya untuk didermakan kepada tabung itu.

"Saya fikir tiba masanya ahli Umno berkorban. Kita tahu Datuk Seri Najib Razak teraniaya, jadi ini merupakan usaha kita untuk membantu beliau.

"Ini merupakan cara untuk mengenang jasa Najib. Dia nak jamin diri pun tak boleh sebab akaun bank dibekukan, jadi apa salahnya kita tolong.

"Gelang ini saya beli sekitar tujuh atau lapan tahun lepas. Walaupun sayang, saya ikhlas membuat sumbangan," ujar Zaleha ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.

Video Zaleha menyerahkan gelang emas miliknya dimuat naik ke laman Facebook pada Jumaat.

Selain gelang, Zaleha turut menyumbangkan sejumlah wang tunai untuk tabung berkenaan. Namun, dia tidak mahu mendedahkan jumlah sumbangannya itu.

Mengulas mengenai sumbangan barang kemas, dia mengambil pendekatan itu bagi mengikut jejak langkah kumpulan wanita zaman dahulu yang sanggup mendermakan barang kemas mereka dalam usaha menuntut kemerdekaan negara.

"Tiada simbolik apa pun di sebalik emas ni, cuma saya teringat peristiwa sewaktu menuntut kemerdekaan suatu ketika dahulu.

"Wanita-wanita menghulurkan barang kemas masing-masing untuk bantu Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj. Saya fikir kenapa saya tak boleh buat begitu juga," ujarnya.

Zaleha turut menggerakkan wanita-wanita di 89 cawangan Umno Bahagian Jasin untuk menyumbangkan sekurang-kurangnya RM100 bagi tabung berkenaan.

Jelasnya, jika setiap cawangan berjaya menyumbangkan RM100 termasuk sumbangan-sumbangan lain, dia optimis mereka mampu mengumpul RM10,000 sebelum menyerahkan keseluruhan sumbangan kepada wakil Najib pada Sabtu.

"Tiada paksaan dalam sumbangan dan tak semestinya sumbangkan barang kemas sahaja. Terpulang cara masing-masing untuk membantu. Jika ada yang nak derma RM5 sekali pun, tiada masalah asalkan ikhlas.

"Jika tidak dapat membantu cara ini, berikan sokongan menerusi laman sosial atau menitipkan doa buat Najib pun sudah memadai," katanya lagi.

Sementara itu, Zaleha turut menyeru kepada wanita Umno di seluruh negara untuk terus setia kepada parti itu walau apa jua yang berlaku.

Tambahnya lagi, gelombang kebangkitan Umno juga semakin jelas sejak kebelakangan ini.

"Walau apa pun keputusannya, saya harap Najib diadili dengan seadilnya dan saya doakan yang terbaik untuknya," ujar Zaleha.

Tabung Solidariti Bebaskan Najib diwujudkan untuk membantu bekas perdana menteri itu membayar wang jaminan RM1 juta yang ditetapkan Mahkamah Tinggi, Rabu.

Tabung itu dilancarkan oleh sekumpulan penyokong Najib yang diketuai bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Datuk Razlan Rafii.

Najib menghadapi tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Najib Razak, gelang emas, derma

Artikel Lain