suria

Had umur mengundi wajar diturunkan kepada 18 tahun

KUALA LUMPUR: Had umur layak mengundi di negara ini wajar diturunkan kepada 18 tahun berbanding 21 tahun sekarang, kata Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Saya sasarkan ia mampu dibuat menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 nanti. Namun terlebih dahulu kita perlu ada program pendedahan politik kepada golongan muda," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu majlis di sini malam Khamis.

Syed Saddiq berkata beliau akan berbincang dengan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengenai bagaimana pendedahan berhubung proses demokrasi boleh diterapkan di peringkat sekolah.

Beliau berkata Malaysia harus memberi pendedahan berkaitan politik kepada pelajar di peringkat menengah atas seperti yang dilakukan di beberapa negara lain.

"Di negara-negara berkenaan, umur 17 atau 18 tahun sudah layak mengundi dan ia sudah mulakan sejak 1960-an lagi. Jadi kenapa di Malaysia (ada yang) berpendapat anak muda tak tahu (apa) dan melabelkan mereka ini golongan 'WeChat' sahaja," katanya.

Menurutnya, program Parlimen Belia merupakan antara contoh pendedahan politik yang boleh dimanfaatkan golongan muda dan usaha seumpama itu perlu diperkasakan dengan penglibatan lebih ramai remaja.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata usaha akan dibuat bagi menentukan umur maksimum bagi menganggotai persatuan belia dihadkan sehingga usia 35 tahun sahaja. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain