suria

Aduan perangai buruk suami isteri tinggi di Selangor

ADUAN berkaitan masalah akhlak dan sosial pasangan paling banyak diterima di Selangor iaitu sebanyak 10,759 aduan pada 2016.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Undang-undang Keluarga Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) merangkap Ketua Pendaftar Perkahwinan, Perceraian dan Rujuk Orang Islam Selangor, Salwana Ahmad Dahlan berkata, masalah akhlak dan sosial dibahagikan kepada 42 kategori.

“Antara masalah tersebut adalah berkaitan dengan sikap suami yang suka berfoya-foya, memaki hamun pasangan (suami/isteri), mendera secara mental (dengan kata-kata yang kesat dan tidak baik) serta ketagihan media sosial.

“Ketagihan kepada gajet menyebabkan suami atau isteri menjadi leka dan mengabaikan perasaan pasangan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, terdapat kes di mana pasangan tidak mempedulikan suami atau isteri yang berada bersebelahan kerana terlalu taksub dengan media sosial.

“Bahkan ada juga pasangan menggunakan medium media sosial seperti aplikasi whatsApp untuk berkomunikasi dengan pasangan walaupun mereka tinggal di bawah satu bumbung.

“Aduan yang kita terima terdapat juga pasangan menjadikan gajet sebagai medium untuk membuat ‘reunion’. Selepas ‘reunion’, mereka bertemu semula kawan lama sehingga tercetusnya orang ketiga dalam rumah tangga pasangan itu,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, statistik kedua tertinggi adalah berkaitan dengan pasangan tidak bertanggungjawab sehingga 6,036 aduan diterima bagi tahun sama.

“Tidak bertanggungjawab diertikan sebagai keluar rumah tanpa izin pasangan, suami atau isteri mengabaikan rumah tangga, tidak memberi perhatian dan juga kasih sayang.

“Sebenarnya wanita dilihat lebih memerlukan kasih sayang berbanding material. Jika pasangan dapat seimbangkan kedua-dua perkara itu, InsyaALLAH rumah tangga akan bahagia dan pasangan itu hidup dalam keadaan harmoni dan stabil,” katanya.

Sementara itu, Salwana berkata, selain dua aduan berkenaan, pihaknya menerima lapan jenis aduan lain iaitu pasangan tidak bertanggungjawab, kurang penghayatan agama, campur tangan pihak ketiga, perbezaan latar belakang budaya dan pendidikan (pasangan dari luar negara atau beza negeri), masalah seksual (isu dalaman), masalah ekonomi (pendapatan), komunikasi dan kesihatan.

“Daripada keseluruhan aduan diterima, saya dapati rata-rata pengadu terdiri daripada mereka berpendapatan bawah RM3,000 sebulan ke bawah.

“Di sini dapat saya simpulkan bahawa pendapatan yang tidak kukuh dan stabil turut menjejaskan keharmonian rumah tangga,” katanya. - Sinar Online

aduan, suami isteri, Jais

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain