suria

Ini perbuatan buli - pelakon Taiwan

PETALING JAYA: Aktres Taiwan Celia Chang yang dilihat keluar Datuk Mohd Nazifuddin Najib mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang selepas menerima komen berbaur ugutan di laman media sosialnya, lapor Apple Daily.

Menurut portal dalam talian Taiwan itu, Chang kecewa dengan komen berunsur penghinaan, ugutan dan membuli di laman media sosialnya.

Ada segelintir netizen menerusi komen mereka menyifatkan Celia sebagai 'Ayam Vietnam' - istilah penghinaan yang bermaksud pelacur.

Malah rakyat Malaysia turut membanjiri laman Facebooknya dengan komen meminta dia supaya menjauhkan diri daripada anak lelaki Datuk Seri Najib Tun Razak itu.

Chang yang berlakon dalam siri TV Top Secret tahun lalu enggan mengulas lanjut ketika Apple Daily bertanya sama ada dia akan meneruskan hubungan dengan Mohd Nazifuddin.

"Saya tidak tahu," katanya.

Sementara itu, Penasihat DAP Lim Kit Siang mempertikaikan agenda lawatan sehari Mohd Nazifuddin ke Taiwan, sehari selepas bapanya didakwa di mahkamah.

"Sangat sedikit yang percaya bahawa tujuan keseluruhan kunjungan singkat Nazifuddin ke Taiwan adalah untuk menikmati makanan dan minum bersama dengan Celia," kata Lim.

Mohd Nazifuddin keluar bersama dengan Chang di Taiwan sehari selepas bapanya didakwa di mahkamah. 

Pada Jumaat, Apple Daily melaporkan Chang dan Nazifuddin dilihat berjalan sambil berpimpin tangan di Xinyi, Taiwan.

Wakil agensi pengurusan Chang dalam satu kenyataan berkata pelakon itu tidak menerima sebarang wang atau hadiah daripada anak bekas perdana menteri itu.

Apple Daily melaporkan Mohd Nazifuddin keluar bersama Celia Chang selepas Najib dibebaskan dengan ikat jamin susulan penahanannya pada 3 Julai lalu atas dakwaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mohd Nazifuddin dilihat makan di sebuah restoran stik dan mengambil khidmat urut di sebuah kawasan membeli-belah mewah dekat Taipei 101 pada Khamis.

Memetik laporan berkenaan, pasangan itu dilihat menghabiskan masa lebih tiga jam di restoran tersebut dan menikmati makanan bersama.

Laporan tersebut turut menyebut pasangan itu kemudian bersantai di sebuah pub selama dua jam sebelum ke hotel Grand Hyatt Taipei pada pukul 1 pagi.

Chang bagaimanapun menafikan dia tidur bersama Mohd Nazifuddin dengan menjelaskan dia mengambil teksi untuk pulang ke rumahnya.

Apple Daily mendakwa Mohd Nazifuddin cuba memikat Chang setahun yang lalu tetapi pelakon itu sudah mempunyai teman lelaki.

Sebaik sahaja Chang sudah solo, Mohd Nazifuddin mula memikat hatinya.

Namun status hubungan mereka masih menjadi teka-teki kerana kedua-duanya belum mengesahkan mereka adalah pasangan kekasih.

Artikel Sebelum

Artikel Lain