PETALING JAYA: Genap usia 93 tahun pada tanggal 10 Julai 2018, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan penuh bergaya telah memegang rekod sebagai perdana menteri paling tua di dunia. Masih segak seperti orang muda, beliau tidak pernah mengenal penat sejak bergelar perdana menteri buat kali kedua selepas kemenangan kerajaan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum lalu. Banyak ucapan selamat hari ulang tahun kelahiran yang disampaikan kepada Dr Mahathir mula dilihat di media sosial sejak beberapa hari lalu, malah setem khas edisi terhad sempena ulang tahun ke-93 perdana menteri juga dikeluarkan pada Selasa. Sempena hari penuh bermakna ini, antara yang menarik perhatian netizen adalah gambar yang dimuat naik di akaun Twitter rasmi Dr Mahathir @chedetofficial pada Isnin malam, iaitu beberapa jam sebelum beliau mencecah usia 93 tahun. Ia merupakan hadiah berupa cenderamata yang diterima daripada Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Malaysia, Julia G. Bentley. Dr Mahathir menerima kunjungan Julia di Putrajaya pada minggu lalu. “Cenderamata yang menarik daripada Julia G Bentley – gambar nostalgik bersama perdana menteri Kanada ketika itu, Pierre Elliott Trudeau dan anak lelakinya, Justin Trudeau pada 1982,” menurut status berkenaan. Gambar tersebut menunjukkan Dr Mahathir semasa beliau menjadi perdana menteri yang keempat bersalaman dengan Justin yang ketika itu baru berusia 10 tahun. Ketika itu, Dr Mahathir ditemani oleh Menteri Hal Ehwal Luar, Tan Sri Ghazali Shafie dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Amar Dr Sulaiman Daud. Signifikannya sudah tentu momen perdana menteri bersama Justin yang kini merupakan perdana menteri Kanada sejak 2015. Malah, Justin, 46, yang kini menjadi Perdana Menteri Kanada ke-23 merupakan perdana menteri kedua paling muda dalam sejarah Kanada. Sementara itu, pada usia 93 tahun, Dr Mahathir pula terus diberikan kesihatan yang baik untuk memimpin negara buat kali kedua. Selamat hari ulang tahun ke-93 Tun!