suria

Pecah botol arak: Jamal mengaku salah, didenda RM400

SHAH ALAM: Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos didenda RM400 oleh Majistret Shah Alam kerana mendatangkan kegusaran awam dengan memecahkan sejumlah botol arak, tahun lalu.

Majistret, Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman itu selepas Jamal,48, menukar pengakuannya kepada bersalah pada sebutan kali ketiga kes itu hari ini.

Jamal turut diperintah menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya gagal menjelaskan denda itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Amira Haziqah Zulkifli memohon denda maksimum bagi memberi pengajaran kepadanya dan umum.

Pada 25 Mei lalu, Jamal,48, didakwa memecahkan sejumlah botol arak menggunakan penukul besi sehingga sehingga mendatangkan bencana, bahaya dan kegusaran awam.

Ketua Umno Sungai Besar itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan hadapan pintu pagar keluar Pos (1) Bangunan SUK Darul Ehsan jam 10.15 pagi 5 Oktober 2017.

Prosiding pendakwaan itu dibuat di Hospital Ampang Puteri ketika Jamal sedang mendapatkan rawatan sakit belakang.

Beliau kemudiannya dilapor menghilangkan diri sebelum selesai proses jaminan.

Buruan polis terhadap Jamal berakhir dengan bantuan pihak berkuasa Indonesia yang membuat tangkapan Jakarta Selatan pada 3 Julai lalu.

Sejurus tiba di Malaysia, beliau kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang atas tuduhan melarikan diri daripada tahanan sah. -SinarHarian

Jamal, SUK, arak

Artikel Lain