PETALING JAYA: Ingatkan hanya tak muncul sampai ke tengah malam, rupa-rupanya rakan yang berjanji untuk datang beraya terus ‘hilang’ beberapa hari. ARTIKEL BERKAITAN: 'Open house' tak jadi, kesian anak tercongok depan pintu Keadaan itu membuatkan ibu remaja berkenaan kasihan melihat anaknya yang lama tercongok di depan pintu rumah, gara-gara terlalu teruja mahu menyambut tetamu buat pertama kali pada Aidilfitri ini. Remaja tersebut, Mohd Amar Haziq Rizal Effendi, 14, memberitahu bahawa rakannya itu sepatutnya hadir pada Jumaat malam lalu bersama rakan-rakannya. Katanya, rakannya yang mesra dipanggil Jo itu telah lama dikenalinya sejak sekolah rendah, dan mereka sama-sama tinggal di kawasan perumahan sama di Klang. “Selepas Jo dengan kawan-kawannya tak muncul pada malam tu, saya memang rasa marah sangat kat dia, sebab mak dah masak banyak untuk mereka. “Saya cuba telefon dan mesej dia hari Sabtu dan Ahad, tapi masih tak dapat. Saya ni dah lah tak ramai kawan, bila kena macam ni memanglah marah,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu. Kisah Mohd Amar mengenai ‘rumah terbuka tak jadi’ menjadi tular selepas kakaknya meluahkan rasa kesal di atas apa yang berlaku, menerusi laman sosial Instagram. Namun kata Mohd Amar, dia cuba berfikiran positif mengenai rakannya yang senyap tanpa khabar berita itu. “Kami dah kenal lama, tak kan dia sanggup buat macam tu. Saya fikir, mungkin dia ada kecemasan atau hal yang tak dapat dielakkan,” katanya. Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu, dia hanya menerima panggilan daripada Jo, tiga hari kemudian iaitu pada Isnin lalu. Dengan nada rasa bersalah, Jo segera memohon maaf kerana tidak hadir ke rumah Mohd Amar pada Jumaat lalu kerana terpaksa mengikut keluarganya pulang ke kampung. “Dia minta maaf, saya tanya kenapa tak datang hari tu? Dia cakap terpaksa bergegas pulang ke kampung ada hal keluarga. “Dia kata di kampungnya ‘network’ (liputan telefon) tak okay, jadi dia tak dapat beritahu saya yang dia tak jadi datang. Dia rasa bersalah sangat,” ujar Mohd Amar yang lebih mesra dipanggil Haziq oleh keluarganya. Antara luahan kakak Haziq susulan pengalaman 'rumah terbuka tak jadi' yang dialami adiknya. Bagaimanapun kata Mohd Amar, dia memaafkan rakannya itu yang mengakui kesilapannya dan menceritakan perkara sebenar. “Saya dan Jo dah berbaik semula, cuma ada salah faham sebelum ni. Dia dah minta maaf, saya pun dah maafkan dia,” katanya. Ditanya sama ada Jo akan datang beraya ke rumahnya selepas insiden tempoh hari, Mohd Amar memberitahu setakat ini belum ada perancangan. Walaupun masih terkesan dengan insiden yang berlaku, pelajar Tingkatan Dua itu sedia menerima kunjungan Jo, malah sesiapa saja yang mengenali dirinya untuk datang beraya di rumahnya, dengan hati yang terbuka. “Jujurnya, memanglah serik. Tapi Jo dan rakan-rakan lain boleh datang ke rumah untuk beraya. Tapi, kami jamu kuih raya saja lah,” katanya mengakhiri perbualan.