KOTA BHARU: Mayat seorang bayi perempuan ditemui di dalam parit di belakang sebuah rumah di Kampung Atas Pengget, Dewan Beta di sini pada Rabu. Seorang penduduk Mat Jusoh Awang, 54, berkata dia menemui mayat bayi perempuan itu yang cukup sifat pada pukul 1 tengah hari ketika mahu ke tandas yang terletak di belakang rumahnya. "Saya terkejut apabila melihat mayat tersebut seperti anak patung, kepucatan dan masih mempunyai tali pusat berada di dalam parit di tepi tandas,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini, Rabu. Beliau membuat laporan polis berkaitan penemuan mayat bayi tersebut di Balai Polis Nilam Puri di sini untuk tindakan pihak berkuasa. Sementara itu, Ketua Polis Kelantan Datuk Hassanuddin Hassan mengesahkan polis menerima laporan berhubung penemuan mayat bayi perempuan itu yang kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini. - Bernama