suria

Finalis Miss Universe New Zealand ini minat Syed Saddiq

Nurul Shamsul, anak kelahiran Malaysia, menjadi satu-satunya peserta berhijab terpilih dalam finalis Top 20 pertandingan Miss Universe NZ 2018 yang akan diadakan pada 4 Ogos ini. FOTO: AZMAN GHANI

PETALING JAYA: Dibesarkan di luar negara, finalis Miss Universe New Zealand (Ratu Cantik NZ) 2018, Nurul Shamsul mengakui hatinya lebih tertarik kepada jejaka Melayu.

Malah, gadis kelahiran Ampang, Selangor itu menyifatkan antara ciri-ciri lelaki idamannya ada pada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

"Soal jodoh saya tak kisah dengan lelaki dari Malaysia atau New Zealand, tapi seeloknya biarlah lelaki Melayu. Yang penting, dia ada ciri-ciri idaman saya.

"Cukuplah jika lelaki itu bijak, menghormati, baik dan setia. Saya lihat Syed Saddiq seorang yang bijak dan saya sangat meminati beliau," kata Nurul dalam satu temuramah eksklusif bersama mStar Online, Rabu.

Nurul, yang ditemani ibunya Ohan Anie Ediy, 43, kini berada di Malaysia sebagai sebahagian daripada rangka promosi pertandingan itu.

Bercerita mengenai pasangan hidup anaknya, Ohan, 43, turut senada dengan Nurul dan lebih suka dia memilih jejaka tempatan sebagai suami.

Ohan berpandangan, lelaki Melayu lebih memahami namun dia tidak menolak sekiranya Nurul ditakdirkan berkahwin dengan lelaki berbangsa asing.

Nama gadis berusia 20 tahun itu mula menjadi sebutan apabila dia terpilih sebagai anak Malaysia pertama yang berjaya menempatkan diri dalam senarai Top 20 Miss Universe New Zealand 2018.

Lebih membanggakan, buat pertama kali dalam sejarah, Nurul merupakan satu-satunya peserta berhijab dari Malaysia yang berentap dalam pertandingan itu yang akan diadakan pada 4 Ogos depan.

"Dalam pertandingan ini, saya tak perlu buka hijab atau memakai pakaian renang. Jadi tiada sebarang masalah dengan penampilan saya.

"Ibu-bapa saya turut terkejut sewaktu dimaklumkan mengenai penyertaan saya. Mereka bimbang dengan persepsi orang ramai jika saya perlu membuka aurat.

"Walaupun bertudung, saya optimis dalam penyertaan ini dan sangat teruja untuk bertanding dengan peserta lain," ujarnya lagi.

Nurul bersama dua adiknya. -foto Instagram

Mengenai latar belakangnya, Nurul berkata, ibunya berasal dari Jawa, Indonesia, manakala bapanya rakyat Malaysia yang berasal dari Ipoh, Perak.

Ketika ini dia masih menuntut di Universiti Waikato, New Zealand dalam bidang psikologi dengan pengkhususan dalam dasar sosial.

Anak sulung dari tiga adik-beradik ini hanya berusia lima tahun sewaktu keluarganya berpindah ke New Zealand.

Menjadikan pengacara popular Oprah Winfrey dan penyanyi Yuna sebagai inspirasi, Nurul berharap agar penyertaannya dalam pertandingan itu dapat memecah tembok sempadan yang sering menjadi halangan kepada wanita bertudung untuk mencapai impian mereka.

Bagi mereka yang mahu melihat anak Malaysia pertama merangkul gelaran Miss Universe New Zealand 2018, undian boleh dibuat DI SINI dan bayaran NZ$5 (RM13.72) dikenakan.

Artikel Lain