suria

"Macam mana usia 8 tahun boleh lukis, tulis benda 'kotor'?"

PETALING JAYA: Ibu bapa mana yang tidak bimbang sekiranya kanak-kanak seawal usia lapan tahun sudah memiliki imaginasi liar dan lucah.

Berdepan sendiri dengan situasi sedemikian, seorang wanita meluahkan kebimbangannya mengenai perkembangan tidak sihat itu menerusi satu perkongsian di laman Facebook.

Bercerita lanjut kepada mStar Online, Dr Maryam Aziz berkata beliau takut dan terkejut apabila melihat beberapa lukisan lucah yang terpampang dalam buku mewarna milik anak saudara perempuannya.

"Pada mulanya kakak saya yang hantar gambar lukisan itu menerusi group WhatsApp. Ia dilukis oleh budak lelaki yang juga rakan sekelas anak saudara saya.

"Kami sangat terkejut, macam mana pada usia lapan tahun sudah boleh lukis dan tulis benda kotor macam tu.

"Apa yang lebih mengejutkan, saya dimaklumkan oleh kakak saya bahawa budak lelaki itu adalah anak seorang cikgu," kata Maryam ketika dihubungi, Isnin.

Berdasarkan gambar-gambar yang dikongsi, terdapat perkataan dan dialog lucah yang ditulis di dalam buku tersebut, termasuklah mengenai saiz buah dada wanita.

Antara paparan lukisan alat sulit beserta ayat-ayat lucah yang dihasilkan oleh kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun tersebut.

Menurut wanita berusia 32 tahun itu, kakaknya yang turut risau akan perkara itu sudah pun bertemu dengan ibu kanak-kanak lelaki berkenaan bagi membincangkan tentang isu ini.

Sementara itu, Maryam yang juga ibu kepada dua anak lelaki mengakui bimbang dengan akses internet dan gajet yang begitu terbuka kepada kanak-kanak zaman sekarang.

Dia yang mengambil pendirian untuk mengawal bahan tontonan anaknya berkata, sudah tiba masanya golongan ibu bapa mengambil pendekatan serupa.

"Kadang-kadang anak-anak tengok kartun sahaja di Youtube, tapi mesti akan muncul juga paparan-paparan yang tidak sepatutnya.

"Untuk mengelakkan perkara itu, saya akan muat turun video yang ingin ditonton dan bagi mereka tengok tanpa akses internet. Saya rasa kaedah ini lebih selamat.

"Sebenarnya lagi elok jika kita libatkan anak-anak dengan aktiviti-aktiviti lain selain bermain gajet," ujarnya lagi.

Perkongsian Maryam di laman Facebook pada Jumaat lalu dikongsi lebih 8,000 pengguna Facebook.

Malah, ramai golongan ibu bapa turut meluahkan kegusaran mereka mengenai perkembangan tidak sihat itu.

"Semoga Allah lindungi anak-anak kami. Risau dengan kecanggihan sekarang, salah guna membawa mudarat," tulis Ida Norhaidah.

"Dunia sekarang sangat menakutkan. Penggunaan teknologi yang disalahgunakan dan persekitaran yang kurang sihat," tulis Susi Lily.

"Tengok cerita kat televisyen pun kena pantau, tak tengok lagi bagus. Adegan seksi tu semua memang menjurus ke arah imaginasi dan fikiran negatif," tulis seorang lagi pengguna Facebook.

imaginasi, kanak-kanak, lucah

Artikel Lain