suria

Hari pertama di Parlimen, MP pembangkang keluar dewan!

Khairy Jamaluddin masih berada di dalam Dewan Rakyat sementara sebahagian anggota parlimen pembangkang lain meninggalkan dewan selepas memprotes pemasyhuran hakim bersara Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Majlis Angkat Sumpah Anggota Parlimen bagi Persidangan Penggal Pertama Parlimen ke-14, Isnin.
-fotoBERNAMA

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa anggota Barisan Nasional serta PAS bertindak keluar dari Dewan Rakyat pagi ini sebagai tanda bantahan dan menolak proses pelantikan Datuk Mohamad Ariff Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu.

Ahmad Zahid, yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk, berkata tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Pakatan Harapan dengan terus mencadangkan nama bekas hakim Mahkamah Rayuan itu sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah tidak mengikut prosedur ditetapkan.

Beliau berkata pihak pembangkang mempunyai bukti yang mencukupi bahawa notis pencalonan Yang Dipertua kesembilan ini tidak memenuhi tempoh 14 hari seperti yang ditetapkan.

"Biarpun Setiausaha Dewan Rakyat (Datuk Roosme Hamzah) memaklumkan bahawa Ketua Majlis iaitu Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) telah menghantar surat kepada Setiausaha Dewan Rakyat pada 2 Julai.

"Tetapi kami mempunyai bukti yang cukup bahawa tempoh 14 hari sebagaimana yang telah ditetapkan dalam Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat tidak diikuti,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, di sini, Isnin.

Terdahulu, tidak sampai 10 minit persidangan Dewan Rakyat bermula ketika Roosme membacakan pemasyhuran Yang Dipertua Dewan Rakyat, kedengaran Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bahru) bangun mempertikaikan kesahan pelantikan berkenaan, menggunakan Peraturan Mesyuarat 4.1.

Keadaan dewan agak kecoh apabila kedengaran suara Anggota Parlimen pembangkang yang lain membantah pemasyhuran itu, namun tidak dipedulikan dan proses pelantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat diteruskan. Tindakan itu mengundang kritikan anggota pembangkang BN dan PAS, menyebabkan mereka bertindak keluar dewan sebagai bantahan.

Sementara itu, Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) berkata pembangkang tidak memboikot Parlimen sebaliknya tidak mahu bersekongkol dengan perkara (prosedur) yang secara terang sudah tidak dipatuhi.

"Kita ada dua pilihan sama ada terus duduk (di dalam dewan) sedangkan tahu perkara salah sedang berlaku, atau keluar dan menyatakan rasa tidak setuju dengan kerajaan yang memngetepikan undang-undang.

"Parlimen ini tempat yang kita perlu ikut protokol, bukannya tempat sarkas atau medan membalas dendam," katanya.

Takiyuddin pula mendakwa pelantikan Yang Dipertua itu melanggar peraturan mesyuarat Dewan Rakyat.

"Menurut Peratuan Mesyuarat pemilihan Speaker perlu memenuhi tiga elemen utama iaitu individu yang dicalonkan hendaklah bersetuju dengan pencalonan tersebut, pihak yang mencadangkan perlu mengeluarkan notis bertulis dan notis yang dikeluarkan itu mestilah 14 hari sebelum bermula persidangan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen. -Bernama

keluar dewan, pembangkang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain