suria

"Pengantin gusar bila kami punggah tunggul kayu"

PETALING JAYA: Pelamin rimba, kedengaran seperti satu jenaka, namun hasilnya begitu luar biasa.

Idea kreatif perancang perkahwinan, Ahmad Rasidi Md Idris, 27, yang menggunakan tunggul kayu dari hutan sebagai bahan dekorasi utama pelamin ternyata menarik perhatian ramai.

Bercerita lanjut kepada mStar Online, Rasidi yang mesra disapa Edi mengakui terharu dengan reaksi orang ramai terhadap hasil tangannya itu.

"Pada mulanya, keluarga pengantin agak gusar setelah melihat kami memunggah tunggul-tunggul kayu ke dewan itu. Iyalah, sudah dibayar beribu, takkan guna bahan macam tu pula.

"Ia merupakan idea asal kami, bila dah siap pasang dan buka sistem pencahayaan semua, mereka pun terkejut dengan hasilnya.

"Malah, pengunjung yang hadir pada hari majlis juga agak teruja melihat kelainan yang kami tampilkan," kata Edi ketika dihubungi, Isnin.

Menggunakan 70 peratus bahan dari hutan, idea kreatif ini hanya memakan kos sekitar RM7,000 sahaja.

Menurut Edi, kos pelamin itu adalah sekitar RM7,000 sahaja dan setakat ini dia sudahpun menerima tiga lagi tempahan untuk pelamin serupa.

Tambahnya lagi, ini bukanlah kali pertama dia menggunakan bahan semulajadi dari hutan sebagai sebahagian daripada bahan dekorasi pelamin.

"Sebelum ini pun ada kami gunakan bahan-bahan dari hutan, cuma dalam 30 peratus sahaja. Kali ini kami guna tunggul kayu hampir 80 peratus.

"Bila dah tular, ada tiga pula tempahan untuk pelamin sama. Alhamdulillah, tak sangka ramai yang suka dan boleh terima idea ini," katanya.

Menurut Edi lagi, tidak sukar untuk dia mendapatkan tunggul kayu kerana butik mereka beroperasi di kawasan kampung yang masih kaya dengan sumber-sumber hutan.

Siapa sangka, tunggul kayu yang dioalah dengan kreatif mampu menghasilkan pelamin seindah ini.

Pada Januari lalu, pelamin ala-ala penyanyi Yuna versi bajet hasil sentuhan Edi pernah tular dan menjadi perbualan ramai.

Kali ini dia sekali lagi mencuri tumpuan dengan rekaan pelamin rimba yang digunakan dalam satu majlis persandingan di Guar Chempedak, Kedah, Sabtu lalu.

Perkongsian mengenai pelamin itu menerima lebih 2,500 tanda suka dan dikongsi hampir 1,500 pengguna Facebook.

Rata-rata netizen memuji idea kreatif Edi yang menampilkan kelainan dengan penggunaan bahan semulajadi dari hutan.

Pemuda itu mengusahakan dua butik pengantin yang dikenali sebagai Butik Pengantin Setia, masing-masing terletak di Sik dan Gurun, Kedah.

Biarpun dijolok dengan panggilan 'wedding planner' kampung, hasil tangan Edi ternyata tidak pernah mengecewakan dan sering mendapat perhatian ramai.

Artikel Sebelum

Artikel Lain