suria

Mualaf wanita perlukan pusat transit untuk mula kehidupan baharu

KUALA LUMPUR: Pusat transit untuk golongan mualaf  wanita penting sebagai tanda sokongan kepada mereka untuk memulakan kehidupan baharu.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Wanita Cawangan Taman Permata, Datin Rohani Jamaluddin memberitahu, pusat transit untuk golongan ini memang wujud namun tidak mencukupi untuk menampung jumlah mereka yang baru memeluk Islam.

Justeru, Perkim cawangan ini mengambil inisiatif mewujudkan sebuah pusat transit sementara untuk wanita mualaf, sebelum pusat transit kekal yang sedang dalam perancangan dapat ditubuhkan.

“Kebanyakan mereka yang baru berhijrah dibuang keluarga sendiri dan ada kesukaran memulakan kehidupan baru sebagai orang Islam.

“Sebelum ini ada beberapa orang datang bertemu saya mengadu kesukaran mereka dan kami cuba memberi bantuan yang sewajarnya termasuk penginapan, kewangan dan sebagainya sehinggalah mereka mampu menjalani kehidupan yang lebih baik.

“Jadi saya berharap Perkim, khususnya di setiap cawangan supaya akan ada pusat transit untuk golongan wanita mualaf baharu,” ujarnya kepada mStar Online ketika ditemui pada Majlis Ulang Tahun Ke-5 Perkim Taman Permata, Ahad malam.

Rohani menyampaikan sumbangan kepada wanita mualaf pada majlis Ulang Tahun Kelima Perkim Wanita Teman Permata.

Ahli Majlis Perkim Wanita Kebangsaan itu memberitahu, sepanjang lima tahun memimpin Perkim Taman Permata ini, pelbagai program kebajikan telah dianjurkan.

“Ia lebih kepada bantuan golangan asnaf dan mualaf. Bahkan jumlah ahli semakin bertambah  400 orang berbanding tahun pertama penubuhan persatuan cawangan ini.

“Majlis yang diadakan ini juga untuk mengeratkan ahli persatuan dan turut menyerahkan sumbangan kepada beberapa orang mualaf,” jelasnya.


Perkim Wanita, Taman Permata

Artikel Lain