JOHOR BAHRU: Seorang pekerja bot kargo cedera apabila bot berisi muatan tong gas dan petrol itu terbakar di Jeti Syahbandar, dekat Mersing, awal pagi Selasa. Ketua Polis Daerah Mersing Supt Cyril Edward Nuing berkata pihaknya menerima maklumat berkenaan bot yang sedang berlabuh itu daripada orang awam, kira-kira 1.30 pagi. "Siasatan mendapati bot 'Mutiara Kargo 3' itu membawa muatan barangan tong gas dan petrol, dijadualkan untuk dihantar ke sebuah resort di Pulau Tioman, Pahang, pada pagi Selasa. "Mangsa yang sedang bekerja di dalam bot itu kemudiannya mendapati terdapat percikan api pada bahagian enjin sebelum merebak ke bahagian tempat simpanan barang lalu menyebabkan berlakunya letupan dan kebakaran," katanya menerusi kenyataan pada Isnin. Beliau berkata bot tersebut kemudian hanyut dan mangsa yang gagal mengawal kebakaran, bagaimanapun sempat menyelamatkan diri dengan kecederaan kecil pada bahagian tangan. Katanya kerugian kebakaran dianggarkan bernilai RM170,000 dan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian sedang dijalankan. - Bernama