PETALING JAYA: Teguran Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dalam nada berseloroh supaya Ahli Parlimen duduk dan tidak lari sebelum memulakan titah ucapan pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Pertama Parlimen Ke-14 di Dewan Rakyat menjadi topik trending pada Selasa. Ia bukan sahaja menjadi bualan hangat netizen tetapi turut dijadikan ilham Domino's Pizza dalam mempromosikan produk mereka. Jenama piza yang tidak asing lagi di negara ini menerusi Facebooknya memuat naik gambar kononnya seorang 'Ahli Parlimen' di dalam Dewan Rakyat dengan kapsyen "Bila semua orang pergi beli piza personal RM3.70". Malah dalam posting itu turut menyebut:"Hah, lupalah tu...kan hari ni Super Tuesday! Piza Personal dan Banana Kaya 6" RM3.70* je! Pesan cepat." Menariknya, posting tersebut turut disertakan dengan hastag #siladudukdanjangan lari. Posting tersebut mendapat perhatian netizen yang menyifatkan Domino's Piza sebagai bijak mengambil kesempatan untuk strategi pemasaran mereka. Seorang pengguna Facebook Burhan Arsad berkata:"Pandai admin ambil kesempatan buat promosi ya... Hahaha." Zulkefle Nordin berkata:"Kemain ko Min... tagline #siladudukdanjangan lari tu bakal menimbulkan tsunami nanti Min." Gambar Khairy turut dimuatnaik netizen di ruangan komen posting tersebut. Posting itu mendapat 1,100 tanda suka sejak dimuatnaik dua jam lalu. Pada masa sama, ruangan komen posting tersebut turut dirancakkan netizen yang memuatnaik gambar Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin duduk berseorangan di dalam hari pertama sidang Dewan Rakyat. Pada Isnin, Khairy tidak mengikut rakan pembangkang lain keluar dewan sebagai membantah pelantikan bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Speaker Dewan Rakyat baharu. Bekas Ketua Pemuda Umno itu kekal di dalam dewan sehingga selesai majlis angkat sumpah jawatan. Selain itu, Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Bebas-Masjid Tanah) yang sebelum ini bekas Ketua Puteri Umno turut mengambil pendirian sama dengan Khairy untuk tidak bertindak keluar daripada dewan. Susulan kekecohan itu, teguran Sultan Muhammad V telah mencetuskan suasana gamat di Dewan Rakyat pada Selasa.