PETALING JAYA: Pengalaman nyaris menjadi mangsa kejadian samum bersenjata membuatkan pemandu Grab wanita, Jamila Husna Fazir Anuar kini lebih berhati-hati menerima pelanggannya. Jamila yang terlibat dalam perkhidmatan e-hailing lebih kurang empat bulan itu nyata terkejut dengan insiden yang berlaku minggu lalu itu. Tanpa diduga, tiga penumpangnya yang juga warga asing berniat menyamunnya apabila polis menemui sebilah pisau bersama mereka. "Saya mengambil mereka dari Brem Mall, Kepong menuju ke Mutiara Apartment di Jalan Klang Lama. "Dalam perjalanan kereta saya ditahan polis peronda. Dan saat inilah saya seperti berhenti bernafas apabila polis memberitahu ada pisau dengan salah seorang penumpang lelaki yang duduk di bahagian depan, sebelah saya. "Malah kesemua mereka tidak mempunyai wang atau dokumen pengenalan diri. Tiga penumpang dibawa ke balai polis untuk siasatan. "Jadi polis syak mereka mempunyai niat untuk menyamun saya. Malah sebenarnya mereka menggunakan nama orang lain untuk menempah Grab saya ketika itu," jelasnya yang kini masih trauma dengan kejadian itu. Menurut wanita berusia 30 tahun ini, dia terpaksa mengikut polis peronda untuk membuat laporan berhubung insiden tersebut. "Ketika di balai, saya memang tak tengok muka ketiga-tiga penumpang itu. Mereka juga langsung tidak cakap apa-apa. "Tak tahu nak fikir apa masa tu, memang rasa takut sangat, lebih-lebih lagi baru sahaja berlaku kejadian penumpang bunuh pemandu Grab di Selayang bulan lepas. "Sejak itu saya hanya buat kerja Grab hujung minggu sahaja," jelasnya yang bekerja sebagai guru tadika di Mont Kiara. Jamila mengakui pengalaman tersebut adalah yang terburuk sepanjang menjadi pemandu Grab. Laporan polis dibuat Jamila. "Sebelum ini saya berdepan dengan penumpang bogel dalam kereta. Alasannya untuk menukar baju. "Nasib baik tidak ada apa-apa yang berlaku. "Cuma saya nasihatkan kepada pemandu-pemandu Grab wanita supaya berhati-hati mengambil penumpang. Kalau rasa was-was, jangan terima. "Lagipun jenayah sekarang tidak kira siang atau malam. Saya bernasib baik kerana ada polis ketika itu. "Kalau tidak...entah apalah nasib saya ketika itu," katanya.