suria

"Saya tak buat anak orang begitu" - Ibu Adam Rayqal

Farah Madihah memangku mayat Adam Rayqal yang ditemui mati di peti sejuk rumah pengasuhnya pada 3 Julai lalu.

BATU CAVES: "Saya tak boleh terima anak saya dilakukan sedemikian kerana saya tak buat anak orang begitu," luah Farah Madihah Othman, 28, ibu Allahyarham Adam Rayqal Mohd Sufi Naeif yang ditemui mati dalam peti sejuk di rumah pengasuhnya, 3 Julai lalu.

Farah Madihah yang berkhidmat sebagai jururawat di wad kanak-kanak Hospital Kuala Lumpur berkata, tindakan pengasuh berusia 33 tahun itu kejam dan berharap tindakan setimpal dikenakan ke atasnya.

"Dia (pengasuh) hubungi saya dengan nada yakin mengatakan anak saya telah diambil seorang lelaki.. saya ingatkan betul-betul anak saya dilarikan, tak terfikir langsung pengasuh akan buat Adam begitu.

"Tapi bila tahu anak saya ditemui di tempat tidak sepatutnya saya tak boleh terima. Tak dapat saya bayangkan keadaan anak saya ketika itu," katanya yang kini mulai reda dengan keadaan menimpa anak sulungnya itu.

Jelasnya, dia berharap kejadian menimpa ke atas anak itu diambil iktibar dan kerajaan dapat memantau seterusnya menyediakan kemudahan pusat asuhan di tempat bekerja.

"Sebagai kakitangan pusat perubatan kita menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pesakit jadi tak salah sekiranya kebajikan kami juga dijaga.

"Susah nak jumpa pusat asuhan yang mengambil anak-anak yang ibu bapanya bekerja shif, jika ada pasti kosnya tinggi. Bila ada kemudahan itu di tempat bekerja ia sangat membantu.

Noraini (kanan) melawat ibu Adam Rayqal.

"Memang susah nak meletakkan keyakinan kepada pengasuh tapi bila dia beri keyakinan dan menjaga pula seorang anak OKU sedikit sebanyak saya membuat pertimbangan menghantar anak saya ke pengasuh itu," katanya sewaktu menerima kunjungan Ketua Pergerakan Wanita Umno, Datuk Dr Noraini Ahmad pada Rabu.

Kisah Adam Rayqal menggemparkan negara selepas ditemui dalam peti sejuk beberapa jam dilaporkan hilang dari rumah pengasuhnya.

Susulan daripada kejadian, suspek juga pengasuh, Noor Aqilah Abd Rahman, 33, didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dia turut dituduh melupus mayat Adam Rayqal dengan niat menyembunyikan kematian mangsa supaya terlepas daripada hukuman dan didakwa mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, yang boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun dan denda.

Sementara itu, Noraini berkata, pihaknya mendesak kerajaan menyediakan kemudahan pusat asuhan di jabatan kerajaan sebelum melebarkan perkhidmatan tersebut kepada syarikat swasta.

"Sudah tiba masanya perkara itu dijadikan kewajipan, sebelum ini ia hanya berbentuk galakan. Kementerian juga disaran mewujudkan pusat latihan agar pengasuh dapat menjalankan tugas dengan profesional," katanya.

Tambahnya, aktiviti pusat asuhan perlu dipantau dan berdaftar dengan kementerian.

“Kementerian boleh paparkan nama pengasuh yang berdaftar kepada umum melalui laman sesawang dan hebahan di pihak berkuasa tempatan sebagai rujukan serta meyakinkan ibu bapa.

"Isu pusat pengasuh dan pengasuh ini perlu diambil serius dan diselesaikan segera... jangan jadikannya sebagai isu bermusim," katanya. - Sinar Harian

Adam Rayqal, pengasuh

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan