suria

Dewan Rakyat kecoh kerana 'samseng'

KUALA LUMPUR: Gara-gara mengungkit kisah lama dan penggunaan perkataan “samseng”, persidangan hari pertama Dewan Rakyat, Rabu menjadi kecoh apabila Anggota Parlimen kerajaan dan pembangkang saling bertikam lidah dan ‘menyerang' sesama sendiri kerana tidak puas hati.

Keadaan riuh tercetus dan berlarutan selama hampir dua jam bermula semasa Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani) yang juga Anggota Parlimen pertama diberi ruang untuk membahaskan ucapan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Johari memulakan perbahasan dengan menyentuh soal negara bertuah kerana hidup dalam keamanan meskipun rakyatnya terdiri daripada pelbagai latar belakang, berbilang kaum dan agama serta sentiasa mengamalkan sikap saling hormat menghormati.

Suasana perbahasan Johari, yang beberapa kali terganggu dan pada awalnya terkawal bertukar hangat dengan penyokong kerajaan dan pembangkang bangun mencelah dan bertikam lidah menyatakan rasa tidak puas hati.

Kekecohan menjadi hangat selepas Anggota Parlimen (BN-Lenggong), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah bangun mencelah berkata, beliau setuju dengan apa yang diperkatakan Johari namun mengambil kesempatan menempelak beberapa wakil rakyat kerajaan.

"Kita sokong apabila rakan-rakan tadi menyebut Anggota Parlimen perlu menunjukkan kredibiliti dan kebijaksanaan, malangnya Anggota Parlimen Jelutong dan Bukit Gelugor sudah memulakan provokasi dan tidak melaksanakan seperti apa yang diperkatakan tadi, mereka sudah menyebut kisah lama yang sepatutnya ditinggalkan sedangkan kita nak bawa lembaran baharu," katanya.

Shamsul Anuar merujuk kepada tindakan terdahulu Anggota Parlimen R.S.N Rayer (PH-Jelutong) yang mencelah serta mengungkit insiden lampau berhubung kejadian yang menimpa bekas Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh yang diserang di pekarangan Parlimen.

Anggota Parlimen (PH-Bukit Gelugor), Ramkarpal Singh, yang tidak berpuas hati lantas bangun mencelah dan membangkitkan isu serupa dan melabelkan Pemuda Umno sebagai samseng.

"A wheel chair bound being attacked by uncouth, uncivilised UMNO youth members. They are here today (“Seorang yang berkerusi roda diserang oleh anggota Pemuda Umno secara tidak sopan, bertamadun. Mereka ada di sini hari ini”). Mana Umno Youth chief (Mana ketua Pemuda Umno)? Mana dia? Saya dengar pada masa itu seorang di atas wheel chair (kerusi roda) diserang bukan seorang tapi lima ke sepuluh Umno youth gangsters (gangster pemuda), Umno Youth Chief what did he do? (Ketua Pemuda Umno apa yang dia buat?)?," kata Ramkarpal Singh.

Tindakan Ramkarpal Singh menyebut perkataan “samseng” mengundang rasa tidak puas hati wakil rakyat pembangkang lalu Shamsul Anuar bangkit meminta Ramkarpal menarik semula perkataan ‘samseng' yang disifatkan sebagai biadab serta tidak menghormati dewan.

Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) kemudian turut bangkit mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36 (4) kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Ismail, yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, meminta Mohd Rashid membuat satu perintah supaya Ramkarpal Singh menarik semula perkataan itu.

Peraturan 36(4) menjelaskan adalah menjadi kesalahan bagi Ahli-ahli Dewan yang menggunakan bahasa kurang sopan (biadab) atau membuat pernyataan yang seksis.

Seorang lagi bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee (BN-Beluran) turut bangkit menekankan kepentingan mengikut Peraturan Mesyuarat.

Mohd Rashid kemudian membuat keputusan mengarahkan Ramkarpal Singh menarik balik perkataan samseng yang dikeluarkannya.

Bagaimanapun, Ramkarpal Singh berkeras mengakibatkan suasana dewan terus kecoh dengan wakil pembangkang melaung-laungkan “rules of law” sambil menunjukkan buku biru Peraturan Mesyuarat untuk mendesak Anggota Parlimen Bukit Gelugor itu mematuhi arahan untuk berbuat demikian. - Bernama

Dewan Rakyat, samseng

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan