suria

Tiga bersahabat siap sedia misi Road To Hajj 2019

Tiga sahabat warga emas (dari kiri) Mohamad Zainal Abidin, 63, Wan Hashim Wan Mahmood, 73, dan Che Saad Nordin, 68, bakal memulakan 'Ekspedisi Road To hajj 2019' dengan mengayuh basikal sejauh 10,000 kilometer dari Malaysia ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji tahun depan.

ALOR SETAR: Tiga bersahabat yang bakal memulakan ekspedisi 'Road To Hajj 2019' sibuk membuat persediaan sebelum mengayuh basikal sejauh 10,000 kilometer ke Makkah untuk menunaikan ibadah haji tahun depan.

Kayuhan warga emas itu bermula 6 Januari 2019 akan disertai pemegang Malaysia Book of Records sebanyak empat kali sebagai Pengayuh Basikal Tertua Mengelilingi Semenanjung Malaysia, Wan Hashim Wan Mahmood, 73, pemberita sambilan Bernama Kedah Che Saad Nordin, 68 dan bekas wartawan sambilan The New Straits Times Press (NSTP) Kedah Mohamed Bashah Zainal Abidin, 63.

Che Saad yang mempunyai tujuh rekod kayuhan mengelilingi semenanjung berkata  idea  mengadakan misi kayuhan haji itu muncul pada tahun lepas sebelum beliau berjumpa Wan Hashim yang lebih dikenali sebagai Pak Wan di Kelantan untuk menyatakan hasrat tersebut.

“Sebelum ini saya dan Pak Wan banyak buat kayuhan dalam Malaysia dan Asia sahaja, jadi kali ini cara dan matlamat kayuhan agak berbeza. Apabila saya nyatakan hasrat tersebut Pak Wan terus bersetuju dan selepas itu kami mengajak Mohamed Bashah untuk sertai misi ini.

“Kayuhan itu dijangka mengambil masa enam bulan dengan melalui Thailand, Myanmar, Bangladesh, India, Pakistan, Iran dan Emiriah Arab Bersatu (UAE). Kita juga mengambil kira kemungkinan berlakunya bencana alam atau sebagainya tetapi sekiranya sampai awal, kita akan berhenti rehat di Jeddah dahulu,” katanya ketika ditemui di sini, Rabu.

Che Saad berkata kos keseluruhan untuk misi tersebut adalah RM150,000 dan buat masa ini ada beberapa pihak yang menyatakan kesediaan untuk menaja, namun masih pada peringkat perbincangan.

“Selain itu, kita juga hendak dapatkan visa daripada kedutaan terlibat serta akan bertemu Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH) Tan Sri Mohammed Nor Md Yusof untuk berbincang bagi memudahkan urusan memasuki Makkah nanti,” katanya.

Wan Hashim pula berkata kekuatan mental dan fizikal memainkan peranan penting sepanjang tempoh kayuhan tersebut, maka latihan perlu dijalankan setiap hari dalam keadaan serta cuaca yang berbeza bagi memantapkan lagi diri mereka sebelum ekspedisi bermula.

"Selain itu, sokongan moral antara satu sama lain perlu ada kerana pada peringkat awal kayuhan nanti semua orang akan berasa sangat letih tetapi lepas itu apabila masuk bulan seterusnya semuanya akan seperti biasa," katanya.

Sementara itu, Mohamed Bashah berkata beliau tidak sabar dan teruja kerana ini adalah misi kayuhan basikal pertama yang disertainya.

"Persediaan masih dibuat dan dalam misi ini saya bertanggungjawab dalam aspek bahasa kerana saya fasih dalam sembilan bahasa antaranya Bahasa Melayu, Inggeris, Cina, Hindi, Thailand, Arab dan Punjab. Jadi saya harap tiada masalah besar semasa hendak berkomunikasi nanti.

"Ini adalah misi kayuhan dan haji pertama saya, jadi saya harap kami bertiga selamat sampai serta balik tetapi sekiranya ada antara kami dijemput Ilahi di mana-mana, jenazah kami akan ditanam di situ dan kayuhan akan diteruskan hingga habis," katanya.  -- Bernama

Road To Hajj, Mohamed Bashah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan