PETALING JAYA: Numan Afifi Saadan, bekas 'pegawai media' kepada Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkongsi mengenai beberapa tawaran dari luar negara, di media sosial. "Tiba di London, bangun mendapat berita baik ini mengenai tawaran dari organisasi seni bina berpangkalan di Boston, yang mempromosikan keadilan dan maruah manusia," kata Numan Afifi Saadan menerusi tulisan di Twitter pada Khamis lalu. Tambah Numan, dia turut menerima tawaran kerja dari Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef). Menerusi komen di Twitter, Numan memberi respons kepada tulisan di Twitter dengan mengatakan bahawa dia menghargai sokongan itu, tetapi belum memutuskannya lagi. "Cuba untuk menikmati masa di London terlebih dahulu," katanya. Numan menerima desakan untuk meletakkan jawatan disebabkan sebelum ini aktif dalam aktiviti lesbian, gay, homoseksual dan transgender (LGBT) dengan menjadi penganjur majlis berbuka puasa 'gay' pada 2017. Tindakan menjadi aktivis LGBT itu membuat dirinya dikecam kerana tidak sesuai untuk menjadi kakitangan kerajaan.