PETALING JAYA: Dulunya dia pernah hanyut tetapi syukur akhirnya mendapat hidayah untuk kembali ke pangkal jalan pada awal tahun 2016.
Sepanjang penghijrahannya itu, bekas maknyah, Harry Zulkifli, 26, sentiasa berdoa agar dipertemukan semula dengan bapa kandungnya, Zulkifli Harun yang terpisah ketika berusia setahun.
Menurut Harry, dia tidak pernah melihat wajah bapanya selepas kedua orang tuanya berpisah kira-kira 25 tahun lalu.
Namun, tarikh 20 Julai 2018 menjadi detik paling bermakna dalam hidup Harry apabila dia ditakdirkan bertemu semula dengan bapa kandungnya.
Detik pertemuan menyentuh hati yang berlaku di tempat parkir sebuah pusat membeli belah di Larkin, Johor dikongsi Harry di Instagram miliknya dan mendapat jumlah tontonan sebanyak 94,000.
Menceritakan detik pertemuan itu, Harry ketika dihubungi mStar Online berkata, perasaan tersebut sukar digambarkan dengan kata-kata.
"Susah saya nak cakap, perasaan bercampur-baur... gementar, sayu dan gembira, semua ada. Namun saya bersyukur kerana doa saya akhirnya dimakbulkan Allah," katanya.
Malah Harry yang pernah berkawan rapat dengan Safiey Illias menganggap pertemuan itu sebagai hadiah paling istimewa dalam hidupnya.
"Tahun ini saya menerima hadiah berganda. Pertama hadiah sempena Aidilfitri dan kedua untuk ulang tahun kelahiran saya pada 25 Julai ini.
Harry bersama keluarga baharunya.
"Ia juga hadiah untuk ibu saya sempena hari lahirnya yang ke-50 semalam (Jumaat)," kata Harry.
Jelas anak kelahiran Kuching, Sarawak itu, dia pernah mencari bapanya semasa berhijrah ke Kuala Lumpur apabila mendapat tawaran kerja di sektor kerajaan selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi tidak berjaya.
Namun, dia kembali mengumpul kekuatan untuk mencari bapanya kira-kira setahun setengah yang lalu.
"Apabila sudah berhijrah, terbit rasa insaf dalam diri. Betul syurga itu dibawah telapak kaki ibu tapi saya mahu melihat wajah bapa saya sebelum tidak berpeluang berbuat demikian," katanya.
Harry berkata, semasa balik ke kampung halamannya bagi menyambut Aidilfitri lalu, ibunya membuat kejutan yang ditunggu-tunggunya setelah sekian lama.
"Ibu jumpa Facebook bapa. Saya pernah cuba cari tapi ketika itu bapa tiada Facebook. Lagipun saya tak pernah kenal wajah bapa saya.
"Saya hubungi ibu tiri terlebih dahulu sebelum bercakap dengan bapa pada 13 Julai lalu. Mula-mula agak janggal apabila dia bahasakan diri dengan panggilan ayah.
"Namun itu adalah panggilan yang saya nantikan sejak 25 tahun lalu. Alhamdulillah dengan takdir Allah saya dapat menatap wajah bapa kandung semalam," katanya.
Dalam video berdurasi 58 saat itu, pertemuan Harry dan bapanya cukup istimewa bagi mereka anak beranak yang menangis kegembiraan ketika bertemu buat kali pertama.
"Air mata saya tidak berhenti mengalir ketika bapa datang memeluk saya. Bapa banyak kali minta maaf tapi saya cakap itu bukan salah dia.
"Mungkin dia segan tapi kita tidak boleh menolak takdir. Sudah tertulis jodoh dia dan ibu tidak lama. Jadi walau apa pun yang berlaku, dia masih darah daging saya," katanya.
Tambah Harry, bapanya yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang kini menetap di Larkin, Johor dan sudah berumah tangga serta dikurniakan lima anak.
Malah, Harry memberitahu dia turut mempunyai lima adik beradik lain menerusi perkahwinan terdahulu bapanya.
Harry kini aktif melakukan dakwah.
Harry yang juga anak bongsu daripada dua beradik itu bertekad mahu membantu keluarga baharunya yang hidup dalam keadaan sederhana.
"Mereka duduk di rumah PPRT, bayangkan satu rumah duduk tujuh orang. Jadi sudah tiba masa saya berbakti kepada orang tua saya.
"Walaupun pendapatan saya tidak menentu, saya harap dengan bisnes kecil-kecilan yang saya lakukan sedikit sebanyak mengurangkan beban mereka," katanya.
Harry kini bergiat aktif menyampaikan ceramah motivasi atas jemputan pihak universiti untuk berkongsi dengan mahasiswa mengenai kisah penghijrahannya.
"Di universiti, golongan maknyah mula berkembang. Jadi penting untuk saya mendekati golongan ini supaya mereka tidak terus hanyut di duniawi," katanya.
Selain itu, Harry berkata dia turut terlibat dalam beberapa aktiviti amal bersama pendakwah bebas, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau popular dengan panggilan Ebit Lew.