suria

Bayi maut tersedak susu selamat dikebumi

Zainal Abidin menunjukan gambar kenangan bersama allahyarham anak keduanya ketika di temui di Hospital Besar Melaka pada Isnin. - fotoBERNAMA

BACHOK: Mayat bayi berusia empat bulan yang meninggal dunia dipercayai tersedak susu di sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Melaka, selamat dikebumikan di kampung halaman ibunya di Kampung Alor Bakat di sini, Selasa.

Jenazah Yusof Al-Baihaqi Zainal Abidin tiba di rumah kira-kira pukul 8.30 pagi dari Melaka dan dikebumikan pada pukul 9 pagi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Alor Bakat.

Bapa bayi berkenaan, Zainal Abidin Deraman, 34, ketika ditemui pemberita berkata beliau dan isteri reda dengan kejadian itu walaupun agak terkilan.

Katanya isterinya masih trauma dengan kejadian yang menimpa bayi mereka kerana sudah tujuh tahun menunggu untuk mendapat anak kedua.

"Jarak umur antara Yusuf dengan kakaknya, Amni Batrisya, 8, agak jauh.
Tidak sangka dalam tempoh singkat ini dia pergi meninggalkan kami semua.

"Namun begitu, saya reda dengan kejadian ini. Bedah siasat awal sudah mengesahkan anak saya mati akibat tersedak susu dan ada jangkitan di paru-paru," katanya.

Zainal Abidin yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah berkata bayinya itu ditempatkan di Taman Asuhan Kanak-kanak itu bersama kakaknya sejak seminggu yang lalu.

Katanya anak sulungnya turut ditempatkan di pusat asuhan itu selepas pulang dari sekolah sebagai transit sebelum diambil semula pada sebelah petang.

"Pemilik pusat asuhan itu sudah berjumpa dengan saya dan menjelaskan keadaan yang berlaku," katanya yang enggan mengulas lanjut kerana masih bersedih.

Kejadian itu hanya disedari guru pusat asuhan itu pukul 11.45 pagi semalam selepas mendapati muka bayi berkenaan bertukar kebiruan.

Bayi berkenaan dihantar ke pusat asuhan berkenaan sejak Isnin lalu selepas ibunya Roslina Ismail, 34, kembali bertugas sebagai guru selepas habis berpantang.

Terdahulu, bayi itu dijaga selama dua minggu oleh neneknya dan pada minggu lalu, barulah dihantar ke pusat asuhan berkenaan. - BERNAMA

tersedak, susu, bayi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain